Persampelan pembedahan atau penyingkiran tumor otak glioma kelas rendah

Isu: Glioma kelas rendah (LGG) adalah tumor otak yang perlahan dan kurang agresif. Pengurusan pembedahan yang paling optimum sedang diperdebatkan.

Tujuan tinjauan Terdapat dua strategi pengurusan pembedahan (rawatan) untuk seseorang yang disyaki dengan LGG. Ini adalah biopsi, persampelan pembedahan sejumlah kecil tisu tumor, atau reseksi, di mana sebanyak mungkin tumor dikeluarkan melalui pembedahan. Tisu dari kedua-dua pembedahan kemudian diperiksa secara histologi untuk memberikan diagnosis yang pasti tentang jenis dan tahap (keparahan) tumor. Tujuan tinjauan adalah untuk menentukan sama ada biopsi atau reseksi adalah strategi rawatan terbaik.

Penemuan utama: Terdapat banyak perdebatan mengenai teknik pembedahan mana yang terbaik untuk kelangsungan hidup pesakit. Kami mencari penulisan sehingga Jun 2016. Namun, pada masa ini tidak ada kajian terkawal secara rawak (RCT) yang melihat prosedur mana yang lebih baik, hanya kajian penyelidikan retrospektif yang melihat bagaimana orang telah bertindak balas terhadap prosedur yang telah terjadi pada masa lalu. Oleh itu, pada masa akan datang, lebih banyak RCT adalah diperlukan untuk mencuba dan menjawab soalan ini.

Kualiti bukti: Kami tidak dapat menentukannya kerana tidak ada kajian yang disertakan dan yang ada hanya bukti berkualiti rendah dari bukan RCT.

Kesimpulan: Tidak ada kajian klinikal secara rawak mengenai topik ini; beberapa kajian institusi, bukan klinikal telah mencadangkan peningkatan kelangsungan hidup dan kawalan kejang secara keseluruhan dengan tahap reseksi yang lebih tinggi. Namun, doktor harus mendekati setiap kes secara individu dan mempertimbangkan risiko dan faedah biopsi berbanding reseksi, serta memasukkan keutamaan pesakit ke dalam membuat keputusan klinikal mereka. Faktor-faktor prognostik seperti usia pesakit, ukuran tumor, dan lokasi tumor serta kemungkinan implikasi terhadap kualiti hidup harus diambil kira.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information