Perencat pengambilan semula serotonin terpilih untuk pemulihan strok

Soalan ulasan
Apakah kesan ubat perencat pengambilan semula serotonin terpilih (SSRI) terhadap pemulihan daripada strok?

Latar belakang
Strok adalah punca utama kehilangan upaya. Kehilangan upaya berkaitan dengan strok boleh merangkumi kesukaran dengan tugas harian seperti urusan, mandi, dan berjalan kaki. Kadangkala kehilangan upaya adalah sangat parah sehingga seseorang bergantung kepada orang lain untuk melakukan aktiviti asas (ini dikenali sebagai 'pergantungan'). Ulasan Cochrane sebelumnya yang telah diterbitkan pada tahun 2012 mencadangkan bahawa ubat SSRI (kelas ubat yang biasa digunakan untuk merawat masalah mood, yang berfungsi dengan mengubah tahap bahan kimia dalam otak), dapat meningkatkan pemulihan selepas strok, sehingga dapat mengurangkan kehilangan upaya dan meningkatkan peluang berdikari selepas strok, Namun, apabila kami melihat pada kajian berkualiti tinggi sahaja, kesannya kurang meyakinkan.

Kajian besar yang merekrut lebih daripada 3000 peserta kini telah selesai dan oleh itu adalah perlu untuk mengemas kini ulasan ini. Dalam analisis utama kami, kami memutuskan untuk memasukkan hanya kajian berkualiti tinggi, iaitu yang menggunakan kaedah yang ketat untuk mengelakkan berat sebelah (seperti orang yang menilai hasil yang menyedari sama ada pesakit strok menerima ubat aktif atau plasebo). Dalam ulasan ini, kami merujuk kepada mereka sebagai kajian 'risiko berat sebelah yang rendah'.

Sekiranya kehilangan upaya dan pergantungan boleh diperbaiki dengan ubat yang mudah, ini akan memberi impak besar terhadap kualiti hidup untuk banyak pesakit strok yang terselamat.

Kami juga ingin mengetahui sama ada SSRI mempunyai manfaat lain, contohnya memperbaiki tahap keterukan sebarang kelemahan pada kaki dan tangan, mood, kegelisahan, kualiti hidup, dan juga sama ada SSRI dikaitkan dengan kesan sampingan seperti pendarahan atau sawan.

Ciri-ciri Kajian
Secara keseluruhannya, kami mendapati 63 kajian yang merekrut 9168 mangsa strok dalam tempoh satu tahun selepas strok mereka. Terdapat julat usia yang luas. Kira-kira separuh daripada kajian itu memerlukan para peserta mengalami kemurungan untuk dilibatkan dalam kajian. Tempoh, ubat, dan dos adalah berbeza-beza antara kajian. Namun, hanya tiga kajian ini yang mempunyai risiko berat sebelah yang rendah; peserta dalam kajian ini tidak perlu mengalami kemurungan untuk dilibatkan dalam kajian, dan mereka semua direkrut sejurus selepas strok.

Keputusan-keputusan utama
Apabila kami menggabungkan data daripada ketiga-tiga kajian yang memiliki risiko berat sebelah yang rendah ini, yang merekrut 3249 peserta, SSRI tidak mempengaruhi skor kehilangan upaya atau pergantungan. SSRI mengurangkan risiko kemurungan pada masa depan tetapi meningkatkan risiko masalah dengan sistem pencernaan. Tiada bukti perbezaan yang ketara dalam sawan. Apabila kami menggabungkan data daripada semua kajian, tanpa mengira risiko berat sebelah, terdapat kesan yang baik terhadap pemulihan, tetapi ini adalah hampir pasti disebabkan oleh kajian mempunyai risiko berat sebelah yang tinggi yang memberikan hasil yang positif. Bukti adalah terkini sehingga Julai 2018.

Kualiti bukti
Kami yakin hasilnya boleh dipercayai apabila kami hanya menyertakan kajian-kajian yang berisiko rendah untuk berat sebelah. Apabila kami menyertakan semua kajian tanpa mengira risiko berat sebelah kami mendapati bahawa SSRI mengurangkan kehilangan upaya. Apabila ia telah tersedia, kami akan menyertakan hasil daripada dua kajian besar yang sedang dijalankan dalam kemas kini pada masa depan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save