Kafein sebagai adjuvan analgesik untuk sakit akut dalam kalangan dewasa

Kafein ditemui dalam pelbagai produk tumbuhan dan boleh diinges daripada teh, kopi dan sebahagian minuman berkarbonat serta minuman tenaga. Kafein adalah perangsang dan boleh memperbaiki kewaspadaandan mencegah keletihan untuk tempoh masa singkat. Ia mungkin mengganggu tidur sesetengah orang jika diambil sebelum tidur. Pengambilan biasa kafein (kurang dari 500 milligram sehari) tidak berbahaya kepada kesihatan. Kafein lazim diguna dalam ubat melegakan sakit yang boleh didapati dari farmasi tanpa preskripsi. Adjuvan adalah sesuatu yang ditambah dalam ubat-ubatan untuk menjadikannya lebih berkesan.

Ulasan ini meneliti adakah kafein memperbaiki kesan melegakan sakit ubat-ubatan tersebut. Kami mencari kajian-kajian sehingga Ogos 2014 dan memasukkan dua puluh kajian (7238 peserta) yang mengkaji beberapa keadaan sakit seperti sakit kepala, sakit selepas rawatan gigi, sakit lepas bedah kerana bersalin dan sakit masa haid. Kajian-kajian tersebut amnya berkualiti metodologi baik, menggunakan reka bentuk standard dan skala ukuran sakit yang standard. Kebanyakan kajian sakit selepas rawatan gigi dan sakit lepas bedah adalah kecil dan ini boleh menyebabkan lebih anggaran manfaat.

Dos kafein yang bersamaan dengan satu cawan kopi yang ditambah kepada satu dos standard analgesik lazim seperti parasetamol atau ibuprofen memberi kelegaan sakit yang lebih baik. Analgesik yang ditambah kafein meningkatkan bilangan orang yang mencapai tahap kelegaan sakit yang baik sebanyak 5% hingga 10% berbanding dengan penggunaan analgesik sahaja (bukti berkualiti tinggi).

Tiada peristiwa buruk yang serius berkaitan dengan analgesik atau kafein dilaporkan dalam kajian-kajian tersebut (bukti berkualiti rendah). Adalah tidak mungkin penambahan kafein kepada analgesik akan memudaratkan jika tidak melampaui dos yang disyorkan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wan Rosalina Wan Rosli (Cyberjaya University College of Medical Sciences). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan, berkaitan terjemahan ini sila hubungi wanrosalinawanrosli@gmail.com

Tools
Information
Share/Save