Pembedahan laparoskopi berbanding pembedahan terbuka untuk divertikulitis sigmoid akut

Latar belakang

Penyakit divertikular adalah keadaan yang mana lapisan dalaman dinding usus (mukosa) menonjol melalui titik lemah pada lapisan otot dinding, membentuk kantung kecil (divertikular) yang membonjol keluar dari usus besar. Keradangan divertikular ditakrifkan sebagai divertikulitis. Divertikulitis lebih kerap terjadi di dalam kolon sigmoid daripada saluran usus besar yang lain. Di negara-negara Barat, penyakit divertikular adalah sangat lazim, menjejaskan kira-kira 60% populasi berusia lebih dari 70 tahun. Kebanyakan individu dengan penyakit divertikular tidak mempunyai simptom atau hanya mengalami sedikit sakit di bahagian bawah abdomen, disertai dengan sedikit perubahan dalam tabiat buang air besar. Individu dengan divertikulitis akut mungkin mengalami sakit di bahagian bawah abdomen dan simptom lain seperti demam, loya, muntah, dan menggigil. Divertikulitis biasanya dirawat secara perubatan dengan antibiotik dan diet. Walau bagaimanapun, bagi individu yang mengalami sakit abdomen atau komplikasi berulang, reseksi pembedahan segmen usus yang terjejas diperlukan; ini boleh dilakukan melalui teknik pembedahan terbuka konvensional atau laparoskopi.

Dalam pembedahan terbuka, hirisan abdomen yang besar dibuat di garis tengah untuk mendapatkan akses kepada rongga abdomen, tetapi melalui laparoskopi, hanya hirisan parietal yang kecil (biasanya panjang 5 hingga 12 mm) dibuat melalui dinding abdomen, membolehkan pendudukan kanula parietal laparoskopi gas (tiub yang dimasukkan ke dalam badan) yang menyediakan akses kepada rongga abdomen dengan alat pembedahan berkendalian panjang yang digunakan di bawah penglihatan kamera endoskopi. Kanula parietal laparoskopi adalah alat pembedahan tajam yang dilengkapi dengan kanula ketat dan digunakan untuk memasukkan kanula ketat tersebut ke dalam rongga badan.

Ulasan ini menjawab soalan sama ada laparoskopi lebih berkesan dan/atau selamat daripada pembedahan terbuka dalam rawatan individu dengan divertikulitis kolon sigmoid yang memerlukan pembedahan pembelahan.

Ciri-ciri kajian

Kami mengenal pasti tiga kajian yang membandingkan keberkesanan pembedahan laparoskopi dan pembedahan terbuka. Kajian-kajian ini menyertakan 392 peserta (195 dalam kumpulan laparoskopi vs 197 dalam kumpulan pembedahan terbuka). Kaedah yang digunakan untuk memperuntukkan peserta berdasarkan kerawakan, iaitu, pilihan rawatan yang diterima peserta, telah ditentukan oleh kaedah yang serupa dengan lambungan syiling, supaya kedua-dua kumpulan adalah serupa seboleh mungkin.

Penemuan utama

Kami mendapati pembedahan belahan laparoskopi mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam purata penginapan di hospital apabila dibandingkan dengan belahan pembedahan terbuka. Tempoh pembedahan adalah lebih lama dalam kumpulan laparoskopi dengan purata 49 minit. Tiada perbezaan yang penting dilihat dari segi kematian pascapembedahan 30 hari, morbiditi awal keseluruhan, komplikasi utama dan kecil, komplikasi pembedahan, tempoh pascapembedahan ke pemakanan cecair dan pepejal, dan pembedahan semula kerana kebocoran anastomos. Bagi menilai kualiti hidup, penyelidik menggunakan skala yang berbeza pada jangka masa yang berbeza. Walaupun satu kajian melaporkan bahawa pesakit yang menerima pembedahan laparoskopi mempunyai kualiti hidup yang lebih baik, dua kajian yang lain menunjukkan tiada manfaat yang menyokong sama ada pembedahan laparoskopi atau pembedahan terbuka.

Kualiti bukti

Kualiti bukti berbeza-beza dariapda rendah ke sangat rendah disebabkan risiko bias (iaitu kesimpulan mungkin membuat jangkaan yang berlebihan mengenai manfaat atau meremehkan kemudaratan kerana reka bentuk dan tingkah laku yang bias) dan batasan dalam sampel populasi pesakit. Kajian yang dirancang dengan lebih baik diperlukan bagi mendapatkan anggaran yang lebih tepat untuk manfaat dan keselamatan pembedahan laparoskopi berbanding pembedahan terbuka.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save