Adakah ia lebih selamat untuk melahirkan bayi dengan segera atau menunggu jika ibu mengalami tekanan darah tinggi selepas 34 minggu kehamilan yang tidak teruk secara berterusan?

Apakah isunya?

Wanita yang mempunyai tekanan darah tinggi (hipertensi) semasa kehamilan atau yang mengalami pre-eklampsia (tekanan darah tinggi dengan protein dalam air kencing atau penglibatan sistem organ lain, atau kedua-duanya) boleh mengalami komplikasi serius. Komplikasi yang berpotensi untuk ibu adalah pre-eklampsia yang semakin teruk, kejadian sawan dan eklampsia, gejala HELLP (hemolisis, peningkatan enzim hati dan jumlah platelet rendah), penanggalan plasenta, kegagalan hati, kegagalan buah pinggang, dan kesukaran bernafas kerana cecair dalam paru-paru.

Melahirkan bayi biasanya menghentikan tekanan darah tinggi ibu daripada menjadi lebih teruk, tetapi bayi yang dilahirkan sebelum cukup bulan mungkin menghadapi masalah kesihatan yang lain, seperti kesukaran bernafas, kerana paru-paru masih belum matang. Induksi kelahiran boleh menyebabkan rangsangan pengecutan yang berlebihan dan tekanan janin. Alternatifnya adalah menunggu untuk melahirkan bayi sambil mengawasi ibu dan bayinya dengan teliti.

Mengapakah hal ini penting?

Oleh kerana terdapat faedah dan risiko untuk kelahiran awal yang dirancang dibandingkan dengan menunggu ketika ibu mengalami tekanan darah tinggi menjelang akhir kehamilan, kami ingin mengetahui pilihan mana yang paling selamat. Kami mencari ujian klinikal yang membandingkan kelahiran awal yang dirancang, dengan induksi kelahiran atau dengan pembedahan caesar, dengan polisi kelahiran bayi yang tertunda.

Apakah bukti yang telah kami temui?

Kami mencari bukti pada 12 Januari 2016 dan menemui lima kajian rawak, yang melibatkan 1819 wanita. Dua daripada kajian tersebut adalah kajian yang besar, berkualiti tinggi, pada wanita dengan hipertensi kehamilan, pre-eklampsia ringan atau kemerosotan hipertensi yang sedia ada pada 34 hingga 37 minggu (704 wanita) atau dengan hipertensi kehamilan atau pre-eklampsia ringan pada 36 hingga 41 minggu (756 wanita). Kurang wanita yang menerima kelahiran awal yang dirancang mengalami kesan buruk yang serius (1459 wanita, bukti berkualiti tinggi). Tidak ada cukup maklumat untuk membuat kesimpulan mengenai kesan terhadap jumlah bayi yang dilahirkan dengan kesihatan yang buruk, dengan tahap kebolehubahan yang tinggi antara kedua-dua kajian (1459 bayi, bukti berkualiti rendah). Tidak ada perbezaan yang jelas antara kelahiran awal yang dirancang dan kelahiran yang tertunda untuk jumlah pembedahan caesar (empat kajian, 1728 wanita, bukti berkualiti sederhana), atau jangka waktu ibu tinggal di hospital selepas kelahiran bayi (dua kajian, 925 wanita, bukti berkualiti sederhana) (atau untuk bayi (satu kajian, 756 bayi, bukti berkualiti sederhana)). Lebih banyak bayi yang dilahirkan awal mengalami masalah pernafasan (gejala kesukaran pernafasan, tiga kajian, 1511 bayi), atau dimasukkan ke unit neonatal (empat kajian, 1585 bayi). Kurang wanita yang melahirkan awal mengalami gejala HELLP (tiga kajian, 1628 wanita) atau masalah buah pinggang yang serius (satu kajian, 100 wanita).

Dua kajian membandingkan wanita yang mengalami induksi kelahiran pada 34 hingga 36 minggu dan pada 34 hingga 37 minggu dengan kumpulan perbandingan yang dipantau hingga 37 minggu, ketika induksi dimulakan jika kelahiran belum bermula secara spontan. Tiga kajian membandingkan wanita yang mengalami induksi kelahiran semasa cukup bulan atau hampir cukup bulan, pada 37 minggu dan pada 36 hingga 41 minggu dengan kumpulan perbandingan yang dipantau hingga 41 minggu ketika induksi dimulakan jika kelahiran belum bermula secara spontan. Kriteria kemasukan dan pengecualian yang lain juga adalah berbeza antara lima kajian.

Tidak ada kajian yang cuba membutakan wanita atau doktor mereka ke kumpulan mana mereka berada. Wanita dan kakitangan menyedari intervensi tersebut dan ini mungkin mempengaruhi aspek penjagaan dan membuat keputusan. Sebahagian besar bukti adalah berkualiti rendah, maka kami sederhana yakin dengan penemuannya.

Apakah maksudnya?

Secara keseluruhan, jika bayi seseorang wanita dilahirkan segera setelah 34 minggu, risiko komplikasi yang ada adalah lebih rendah bagi ibu dan tidak ada perbezaan yang jelas dalam kadar komplikasi keseluruhan untuk bayi, tetapi maklumat adalah terhad.

Penemuan ini boleh digunakan pada amalan perbidanan umum apabila gangguan tekanan darah tinggi semasa kehamilan dipertimbangkan bersama. Kajian lanjutan adalah diperlukan untuk meli.hat pelbagai jenis gangguan hipertensi secara individu.

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.: 

Diterjemahkan oleh Saw Le Er (RCSI-UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information