Memberi ubat untuk mengurangkan tekanan darah di sebelum pembedahan untuk mengurangkan risiko kematian dan penyakit yang serius di kalangan orang dewasa

Soalan ulasan

Kami telah mengkaji bukti pada kedua-dua ubat yang digunakan untuk menurunkan tekanan darah (perencat enzim penukaran angiotensin (ACEIs) atau antagonis reseptor angiotensin II jenis 1 (ARBs)) di sekitar masa pembedahan untuk mengurangkan risiko kematian dan penyakit yang serius di kalangan orang dewasa yang menjalani pembedahan menggunakan ubat bius.

Latar belakang

Orang yang mempunyai tekanan darah tinggi di sekitar masa pembedahan akan dirawat dengan teliti kerana mereka mempunyai risiko komplikasi yang lebih tinggi seperti pengurangan aliran darah ke otot jantung (iskemia miokardium), serangan jantung, dan juga kematian. ACEIs atau ARBs mengurangkan tekanan dalam saluran darah dan ia adalah berkesan untuk merawat tekanan darah tinggi yang berkaitan dengan pembedahan, tetapi hasilnya adalah tidak menentu apabila ia digunakan untuk mencegah komplikasi yang berkaitan dengan pembedahan.

Ciri-ciri kajian

Kami telah mencari pangkalan data sehingga 8 Disember 2014. Kami mendapati tujuh kajian terkawal rawak (dari 1992-2014) dengan 571 peserta yang memenuhi kriteria kemasukan kami. Dua daripada tujuh kajian yang melibatkan 36 peserta menjalani pembedahan vaskular bukan jantung (pembedahan aortic infrarenal), dan lima lagi yang melibatkan 535 peserta menjalani pembedahan jantung, termasuk pembedahan injap, pembedahan pintasan arteri koronari, dan pembedahan pintasan kardiopulmonari. Intervensi bermula dari 11 hari hingga 25 minit sebelum pembedahan dalam enam kajian dan satu kajian semasa pembedahan. Kesemua tujuh kajian telah dijalankan di Eropah dan Amerika Syarikat. Salah satu daripada tujuh kajian tersebut dibiayai oleh syarikat ubat.

Keputusan-keputusan utama

Tiga kajian yang melibatkan 419 peserta melaporkan bilangan kematian, tetapi keputusan kajian ini kurang tepat tanpa bukti perbezaan antara kumpulan intervensi dan kumpulan plasebo (kematian perioperative). Dua kajian dengan 345 peserta dilaporkan dengan jumlah peserta yang sama dalam kedua-dua kumpulan dengan perubahan elektrokardiogram mereka yang menunjukkan serangan jantung (infarksi miokardium akut). Output jantung (indeks jantung) kelihatan meningkat dalam satu kajian sahaja.

Kedua-dua kajian yang dilaporkan risiko tekanan darah rendah sebagai komplikasi intervensi mendapati tiada perbezaan yang ketara; dan risiko serangan strok adalah sama diantara kumpulan yang diberikan ubat dengan kumpulan yang tidak diberikan ubat dalam tiga kajian.

Keputusan daripada tiga kajian tersebut menunjukkan bahawa ACEIs atau ARBs boleh mengurangkan tempoh rawatan di hospital, tetapi penemuan ini perlu ditafsirkan dengan berhati-hati kerana ia berkemungkinan dipengaruhi oleh latar belakang klinikal peserta yang dikaji. Dua kajian yang menilai kejadian buruk mendapati tiada bukti perbezaan antara ACEIs atau ARBs dengan plasebo (tiada rawatan).

Kualiti bukti

Kualiti bukti untuk hasilnya adalah rendah atau sangat rendah. Jumlah peserta secara umum adalah rendah. Kebanyakan peserta telah menjalani pembedahan jantung, bermakna hasilnya tidak boleh diumumkan dengan pembedahan jenis yang berlainan. Kami mengulangi carian pada 3 Februari 2017. Kami akan menilai tiga kajian yang menarik perhatian kami apabila ulasan ini dikemaskini semula

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Di sunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information
Share/Save