Penghalang enzim penukaran angiotensin dan penyekat reseptor angiotensin-II dalam mengekalkan fungsi buah pinggang sisa dalam pesakit yang menjalani dialisis peritoneal

Fungsi buah pinggang sisa memainkan peranan yang utama dalam kesihatan dan kualiti kehidupan pesakit yang menjalani dialisis peritoneal (PD). Pemeliharaan fungsi buah pinggang sisa yang lebih baik dikaitkan dengan penurunan kematian, walaupun pada tahap 1 mL/min kadar penapisan glomerulus (GFR), yang dikaitkan dengan pengurangan hampir 50% kadar kematian. Dua jenis ubat antihipertensi, penghalang enzim penukaran angiotensin (ACEis) dan penyekat reseptor angiotensin-II (ARB), sering diberikan kepada pesakit PD (terutamanya untuk mengawal tekanan darah ataupun kegagalan fungsi jantung), dan boleh memberikan manfaat kardiovaskular yang ketara kepada pesakit ESKD. Kini, walaupun penggunaan ACEis dan ARB disyorkan dalam pesakit PD, bukti yang menyokong penggunaan ubat-ubatan ini masih tidak jelas. Walau bagaimanapun, kajian telah memberi tumpuan kepada perlindungan jantung dan bukan kepada fungsi buah pinggang. Tujuan kajian ini adalah untuk menilai manfaat dan kemudaratan terapi ACEis dan ARB dalam memelihara fungsi buah pinggang sisa dalam pesakit PD. Enam kajian (257 pesakit) telah dimasukkan (tiga kajian ARB, satu kajian ACEi dan kajian ACEi berbanding dengan kajian ARB). Penggunaan ARB jangka panjang (12 bulan atau lebih) menunjukkan manfaat yang ketara dalam memelihara fungsi buah pinggang sisa dalam pesakit PD ambulasi berterusan (CAPD) jika berbanding dengan ubat-ubatan antihipertensi yang lain, walaupun tidak ada manfaat yang ketara apabila tempoh ARB yang digunakan adalah kurang daripada enam bulan). Satu kajian menunjukkan bahawa jika berbanding dengan ubat-ubatan antihipertensi yang lain, penggunaan ACEi ramipril secara jangka panjang menunjukkan penurunan yang ketara dalam kemerosotan fungsi buah pinggang sisa dalam pesakit CAPD dan juga penurunan kadar anuria. Walaupun pening dan batuk ialah kesan-kesan buruk yang utama dalam penggunaan ACEi, hanya satu kajian yang membandingkan ARB dengan ACEi telah melaporkan hasil ini dan tidak ada perbezaan yang ketara antara kedua-dua kumpulan ditemui. Walaupun penggunaan ARB ataupun ACEi amat berkesan dalam memelihara fungsi buah pinggang sisa, jumlah kajian dan bilangan pesakit yang terlibat yang kecil bermakna bahawa bukti tidak mencukupi pada masa sekarang untuk menyokong penggunaan ACEi atau ARB sebagai terapi antihipertensi utama dalam pesakit PD.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Zi Yan Chiah (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Tan May Loong (RCSI & UCD Malaysia Campus). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi Chris_ZY@live.com

Tools
Information