Kesan bayaran pengguna terhadap akses kepada perkhidmatan kesihatan di negara berpendapatan rendah dan sederhana

Penyelidik dalam Kerjasama Cochrane menjalankan ulasan tentang kesan bayaran pengguna terhadap akses orang ramai kepada perkhidmatan kesihatan di negara berpendapatan rendah dan sederhana. Setelah mencari semua kajian yang berkaitan, mereka menemui 16 kajian. Penemuan mereka diringkaskan seperti di bawah.

Bayaran pengguna dan penggunaan perkhidmatan kesihatan

Di kebanyakan negara, orang mungkin perlu membayar caj, atau bayaran pengguna, untuk perkhidmatan kesihatan mereka, contohnya apabila melawat doktor atau menerima ubat dan bekalan perubatan yang lain.

Bayaran pengguna telah diperkenalkan di banyak negara berpendapatan rendah dan sederhana pada tahun 1980-an dengan sokongan UNICEF dan Bank Dunia. Beberapa sebab telah diberikan untuk pengenalan bayaran ini. Satu hujah adalah bayaran pengguna dijangka menghentikan orang ramai daripada mendapatkan penjagaan kesihatan yang tidak diperlukan. Bayaran pengguna juga dilihat sebagai satu cara untuk mengumpul dana tambahan yang boleh digunakan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan. Dana tambahan ini juga boleh digunakan untuk mengembangkan perkhidmatan kesihatan dan memastikan seluruh penduduk mendapat akses kepada penjagaan kesihatan.

Pengkritik, bagaimanapun, berpendapat bahawa pengenalan bayaran pengguna menghalang orang miskin daripada menggunakan perkhidmatan kesihatan yang diperlukan. Baru-baru ini, beberapa kempen telah menyokong penghapusan bayaran pengguna, terutamanya untuk penjagaan kesihatan primer.

Apakah yang berlaku apabila bayaran pengguna diperkenalkan atau dihapuskan?

Kajian dalam ulasan ini dijalankan di 12 negara yang berbeza. Mereka menilai sama ada kesan daripada pengenalan bayaran pengguna; penghapusan bayaran; atau kenaikan atau penurunan bayaran. Kajian berbeza-beza mengikut jenis perkhidmatan kesihatan dan tahap serta sifat pembayaran. Walaupun beberapa kajian melihat kesan reformasi negara berskala besar, kajian lain melihat projek rintis yang berskala kecil.

Semua bukti adalah berkualiti sangat rendah dan kajian menunjukkan keputusan yang bercampur-campur:

Apabila bayaran pengguna diperkenalkan atau dinaikkan:

- Penggunaan perkhidmatan penjagaan kesihatan pencegahan berkurangan.

- Penggunaan perkhidmatan penyembuhan oleh orang ramai secara amnya menurun. Walau bagaimanapun, apabila penambahbaikan kualiti dibuat pada perkhidmatan kesihatan pada masa yang sama dengan pengenalan bayaran, penggunaan perkhidmatan penyembuhan oleh orang ramai meningkat. Di samping itu, sebahagian penduduk miskin mula menggunakan perkhidmatan penjagaan kesihatan dengan lebih banyak.

Apabila bayaran pengguna dihapuskan:

- Biasanya tiada kesan serta-merta terhadap penggunaan perkhidmatan penjagaan kesihatan pencegahan oleh orang ramai. Tetapi dalam beberapa kes, penggunaan perkhidmatan ini oleh orang ramai meningkat selepas beberapa ketika.

- Terdapat sedikit peningkatan dalam bilangan lawatan pesakit luar, tetapi tiada peningkatan dalam bilangan lawatan pesakit dalam.

Apabila bayaran pengguna diturunkan:

- Terdapat peningkatan dalam penggunaan perkhidmatan penjagaan kesihatan pencegahan dan penyembuhan, dari peningkatan yang sangat kecil kepada peningkatan yang besar.

Kesimpulannya, keputusan kajian bercampur-campur dan kualiti bukti adalah sangat rendah. Oleh itu, kami tidak pasti tentang kesan bayaran pengguna terhadap penggunaan perkhidmatan kesihatan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Tang Kar Foong (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information