Antibiotik untuk merawat jangkitan pada kaki pesakit diabetes

Soalan ulasan

Kami mengkaji kesan ke atas resolusi jangkitan dan keselamatan antibiotik yang diberikan secara oral atau melalui intravena (terus ke dalam sistem darah) kepada pesakit diabetes yang mempunyai jangkitan pada kaki.

Latarbelakang

Salah satu komplikasi yang paling kerap dialami oleh pesakit diabetes adalah masalah kaki, terutamanya ulser kaki atau luka. Luka ini mudah dijangkiti, dan dikenali sebagai jangkitan kaki diabetes (DFIs). Jika ia tidak dirawat, jangkitan ini boleh merebak dengan pantas, melibatkan tisu yang lebih dalam dan mengancam ketahanan anggota badan. Kadangkala jangkitan ini berakhir dengan amputasi pada bahagian anggota badan yang terlibat.

Kebanyakan DFIs memerlukan rawatan dengan antibiotik sistemik, iaitu, antibiotik yang diambil melalui mulut, atau dimasukkan terus ke dalam aliran darah (intravena), dan memberi kesan kepada seluruh badan. Pilihan rawatan antibiotik awal bergantung kepada beberapa faktor seperti tahap keterukan jangkitan, sama ada pesakit telah menerima rawatan antibiotik lain untuk jangkitan tersebut, atau sama ada jangkitan disebabkan oleh organisma mikro yang dikenali sebagai rintang kepada antibiotik biasa (e.g. rintang-metisilin Stafilokokus aureus - lebih dikenali sebagai MRSA). Objektif terapi antibiotik adalah untuk menghentikan jangkitan dan memastikan ia tidak merebak.

Terdapat banyak antibiotik sedia ada, tetapi tidak diketahui sama ada satu antibiotik tertentu atau jenis antibiotik - adalah lebih baik daripada antibiotik yang lain untuk rawatan DFIs.

Siasatan kajian

Kami mencari melalui literatur perubatan sehingga Mac 2015 mengenai kajian rawak terkawal (yang menghasilkan keputusan yang paling dipercayai) dibandingkan dengan antibiotik sistemik yang berbeza terhadap satu sama lain, atau dibandingkan dengan antibiotik yang digunakan hanya pada yang kawasan yang dijangkiti (penggunaan secara topikal), atau dibandingkan dengan ubat palsu (plasebo) dalam rawatan DFIs.

Ciri-ciri kajian

Kami mengenalpasti 20 kajian rawak terkawal dengan penglibatan sejumlah 3791 peserta. Lapan belas daripada 20 kajian telah dibiaya oleh syarikat farmaseutikal. Semua kajian membandingkan antibiotik sistemik dengan antibiotik sistemik lain.

Keputusan-keputusan utama

Ia tidak jelas sama ada mana-mana antibiotik tertentu adalah lebih baik daripada mana-mana yang lain untuk mengubati jangkitan atau mengelakkan amputasi. Satu kajian mencadangkan bahawa ertapenem (antibiotik) dengan atau tanpa vancomisin (antibiotik lain) adalah lebih berkesan daripada tigecycline (antibiotik lain) untuk menyelesaikan DFI. Ia juga secara amnya tidak jelas sama ada antibiotik yang berbeza dikaitkan dengan kesan yang lebih atau kurang kesan sampingan. Perbezaan-perbezaan berikut dikenalpasti:

1. carbapenem (sejenis kelas antibiotik) digabungkan dengan ejen anti-pseudomonal (antibiotik yang membunuh bakteria Pseudomonas) menghasilkan sedikit kesan sampingan berbanding penisilin anti-pseudomonal (antiobiotik kelas lain);

2. daptomycin (sejenis antibiotik) menyebabkan kurang kesan sampingan berbanding vancomycin atau penisilin separa-sintetik yang lain (sejenis kelas antibiotik);

3. linezolid (sejenis antibiotik) menyebabkan lebih kemudaratan berbanding ampicillin-sulbactam (gabungan antibiotik);

4. tigecycline menyebabkan lebih banyak kesan sampingan berbanding kombinasi ertapenem dengan atau tanpa vancomycin.

Kualiti bukti kajian

Terdapat perbezaan yang penting antara kajian dari segi kepelbagaian antibiotik yang dikaji, tempoh rawatan, dan poin utama di mana keputusan dinilai. Kajian termasuk batasan dalam cara ia direka atau dilaksanakan, berdasarkan kepada perbezaan dan batasan rekabentuk ini, keyakinan kami terhadap penemuan kajian ini adalah rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Mastura Abd Malek (Pelajar Pasca-Siswazah Fakulti Perubatan, UiTM). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi mastura.malek78@gmail.com

Tools
Information
Share/Save