Menggabungkan ubat antipsikotik untuk rawatan skizofrenia

Latar belakang

Ubat antipsikotik telah diperkenalkan pada tahun 1950-an untuk mengurangkan atau meredakan gejala skizofrenia, seperti keadaan psikotik mendengar suara, visual halusinasi dan pemikiran pelik seperti paranoia (perasaan diasingkan atau membebankan orang lain). Ubat-ubatan untuk penyakit mental juga membantu untuk mewujudkan penjagaan di dalam masyarakat kerana orang boleh mengambil ubat-ubatan di rumah masing-masing atau dengan lawatan regular ke hospital. Tetapi ini juga membawa kepada isu-isu baru seperti keberkesanan ubat-ubatan yang berbeza (diambil tunggal atau gabungan) dan kepatuhan (kesediaan pengguna perkhidmatan untuk mengambil ubat-ubatan mereka tanpa diselia).

Ubat-ubatan antipsikotik boleh didapati dengan meluas dan keberkesanannya juga boleh berbeza-beza dari satu individu ke individu. Di samping itu, tidak semua pesakit respon sepenuhnya kepada antipsikotik tunggal, dan dalam situasi begini, gabungan antipsikotik sering dipreskripsi. Bukti manfaat mengambil satu atau lebih antipsikotik gabungan sering tidak jelas. Terdapat juga perbezaan profil antipsikotik tipikal (generasi pertama) dan atipikal (generasi kedua) yang menambah pelbagai istilah yang mengelirukan dan dilema apakah ubat terbaik untuk pengguna perkhidmatan.

Carian

Ulasan ini menyiasat kesan kombinasi pelbagai antipsikotik berbanding antipsikotik tunggal bagi orang-orang dengan skizofrenia. Carian untuk kajian rawakterkawal kini telah dikendalikan oleh Pakar Maklumat Kumpulan Schizophenia Cochrane pada 2010, 2012 dan 2016. Enam puluh dua kajian, yang melaporkan data berguna, dimasukkan dalam ulasan ini.

Keputusan utama

Ulasan bukti sedia ada mendapati kombinasi antipsikotik mungkin lebih berkesan merawat gejala-gejala skizofrenia berbanding dengan mengambil antipsikotik tunggal. Secara khusus, kombinasi rawatan yang termasuk clozapine dan antipsikotik biasa dalam kedua-dua kumpulan ditemui berkesan. Beberapa kajian melaporkan isu utama kadar relaps (pengguna perkhidmatan kembali tidak sihat), tetapi ini adalah kerana kebanyakan kajian adalah jangka pendek (manakala skizofrenia adalah masalah kesihatan jangka panjang yang memerlukan kajian untuk tempoh masa yang sama panjang). Tiada perbezaan nyata ditemui antara kombinasi antipsikotik dan antipsikotik tunggal untuk mencegah relaps dan kira-kira sama bilangan orang menghentikan rawatan mereka. Tiada perbezaan juga di antara terapi gabungan dan monoterapi tentang kemasukan ke hospital dan/atau kejadian kesan buruk yang serius. Bilangan yang meninggalkan kajian di peringkat awal adalah sama. Data-data klinikal yang bermakna untuk kualiti hidup tidak dilaporkan.

Kesimpulan

Keputusan ini menunjukkan bahawa mungkin ada sedikit manfaat klinikal untuk terapi gabungan di mana lebih ramai orang yang menerima kombinasi antipsikotik menunjukkan penambahbaikan dalam gejala. Untuk hasil penting lain seperti relaps, kemasukan ke hospital, kesan-kesan buruk, menghentikan rawatan atau meninggalkan kajian awal, tiada perbezaan jelas dapat diperhatikan di antara kedua-dua pilihan rawatan. Walau bagaimanapun, keputusan ini adalah berdasarkan kualiti bukti yang sangat rendah atau rendah dan lebih banyak penyelidikan dengan bukti berkualiti tinggi diperlukan sebelum kesimpulan kukuh boleh dibuat.

Ringkasan bahasa biasa ini telah diadaptasi daripada ringkasan asal oleh Benjamin Gray, Pengguna Perkhidmatan dan Pakar Pengguna Perkhidmatan, Penyakit Mental Memikirkan Semula. E-mel: ben.gray@rethink.org

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information