Makanan terapeutik sedia diguna (RUTF) sebagai rawatan di rumah bagi kanak-kanak malnutrisi yang teruk berumur antara enam bulan dan lima tahun

Latar belakang

Kanak-kanak yang mengalami kekurangan nutrien biasanya kelihatan sangat kurus dan mereka mempunyai risiko kematian dan penyakit yang tinggi. Merawat kanak-kanak kekurangan zat makanan yang teruk di hospital tidak semestinya wajar atau praktikal di kawasan luar bandar, dan rawatan di rumah mungkin lebih baik. Rawatan di rumah boleh menggunakan makanan yang disediakan oleh penjaga (seperti bubur tepung atau makanan yang berkhasiat dan bernutrisi), atau makanan terapeutik sedia diguna (RUTF) yang disediakan oleh klinik. RUTF biasanya dibuat menurut komposisi standard yang kaya dengan tenaga yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Biasanya, bahan-bahan untuk RUTF standard termasuk susu tepung, gula, mentega kacang, minyak sayur, vitamin dan mineral; tetapi ramuan berbeza-beza bergantung kepada ketersediaan, kos dan penerimaan tempatan. Manfaat RUTF termasuk jangka hayat yang panjang tanpa penyejukan dan mereka tidak memerlukan penyediaan. Ulasan ini adalah satu kemas kini tentang ulasan yang sebelumnya, di mana kepastian kesimpulan tentang kesan RUTF tidak dapat diambil dari empat kajian pada masa itu.

Soalan ulasan

Kam membandingkan RUTF berpiawai dengan pendekatan pemakanan alternatif (contohnya bubur tepung atau makanan tempatan) dan memeriksa sama ada jumlah makanan yang lebih kecil dan rumusan RUTF yang berbeza dapat mencapai tahap kesihatan yang serupa dengan kanak-kanak yang malnutrisi berumur antara enam bulan hingga lima tahun. Hasil utama kesihatan yang kami kaji adalah pemulihan daripada kekurangan zat makanan yang teruk, kemerosotan atau kambuh, kematian dan kadar peningkatan berat badan.

Ciri-ciri kajian yang dimasukkan

Kami mencari pangkalan data untuk kajian sehingga Oktober 2018, dan mendapati 15 kajian dengan 7976 orang kanak-kanak. Lapan kajian dijalankan di Malawi, empat di India, dan satu lagi di Kenya, Zambia, dan Kemboja. Satu kajian kecil hanya memasukkan kanak-kanak yang dijangkiti HIV, satu lagi kajian menganalisa kanak-kanak dengan dan tanpa HIV secara berasingan untuk hasil utama (pemulihan), manakala kajian lain memasukkan kanak-kanak yang tidak dijangkiti HIV atau yang belum diuji untuk HIV. Secara keseluruhannya, kita menilai enam kajian yang berisiko tinggi untuk berat sebelah, tiga kajian yang tiada risiko berat sebelah yang jelas, dan enam kajian mempunyai risiko berat sebelah yang rendah. (Dengan 'risiko berat sebelah', kami bermaksud sejauh manakah kaedah yang digunakan dalam kajian tersebut dalam menentukan kebenaran.) Semua kajian berlangsung antara 8 dan 16 minggu. Hanya lima kajian yang menjalankan susulan untuk kanak-kanak selepas kajian (untuk maksimum enam bulan), dan secara amnya melaporkan bilangan hasil yang terhad.

Dari 15 kajian yang kami masukkan, enam dikaitkan dengan pembiayaan atau derma dari industri, satu tidak melaporkan sumber dana, dan lapan kajian melaporkan dana di mana penaja tidak terlibat dalam industri yang berkaitan.

Keputusan utama

Berbanding dengan pendekatan pemakanan alternatif, RUTF berpiawai mungkin meningkatkan pemulihan (bukti kualiti sederhana) dan boleh meningkatkan kadar kenaikan berat badan dengan sedikit (bukti berkualiti rendah), tetapi kesan kambuh dan kematian tidak diketahui (bukti yang sangat rendah). Dengan 'kualiti bukti' tersebut, kami bermaksud betapa yakinkah penemuan tertentu mewakili kesan sebenar. Contohnya, 'sangat berkualiti rendah' bermaksud kami tidak pasti tentang penemuan itu, 'bukti yang rendah' bermaksud penyelidikan masa depan adalah berkemungkinan besar untuk menukar penemuan, 'bukti yang sederhana' bermaksud kajian masa depan mungkin menukar penemuan ini, dan 'bukti yang berkualiti tinggi' bermakna adalah tidak mungkin kajian masa depan akan mengubah penemuan tersebut.

Pertimbangan jumlah RUTF berpiawai yang memenuhi jumlah keperluan pemakanan harian boleh meningkatkan pemulihan dan mengurangkan kambuh berbanding satu lagi RUTF yang memberikan zat tambahan kepada diet biasa (bukti berkualiti rendah), tetapi untuk kematian dan kadar kenaikan berat badan, kesannya tidak diketahui (bukti yang sangat rendah).

Apabila membandingkan RUTFs yang menggunakan rumusan yang berbeza, terdapat sedikit atau tiada perbezaan untuk pemulihan sama ada RUTF berpiawai atau penggubalan alternatif digunakan (bukti berkualiti tinggi). Untuk risiko kambuh, penggunaan RUTF berpiawai dapat menurunkan kadar kambuh (bukti berkualiti tinggi). Terdapat sedikit atau tiada perbezaan terhadap kadar kematian (bukti berkualiti sederhana) dan kepada kadar kenaikan berat badan (bukti berkualiti rendah) sama ada RUTF berpiawai atau penggubalan alternatif digunakan.

Kajian rawak terkawal yang dirancang dengan baik (kajian eksperimen di mana peserta memenuhi kriteria inklusi mempunyai peluang yang sama untuk dimasukkan kepada mana-mana kumpulan intervensi atau kawalan) di mana analisa telah dilakukan secara berasingan untuk kanak-kanak yang mempunyai atau tanpa HIV, dan juga mengukur dan melaporkan kejadian cirit-birit, diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Raymond Chieng Siang Ching (Klinik Kesihatan Nanga Wak). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi raymondchieng@gmail.com. Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information