Progestogens atau sistem intrauterin yang mengeluarkan progestogen untuk fibroid rahim (selain terapi perubatan pra-pembedahan)

Soalan ulasan

Adakah progestogen atau sistem intrauterin yang mengeluarkan progestogen (LNG-IUS) merupakan rawatan berkesan untuk wanita pra-menopause dengan fibroid rahim yang tidak bersedia untuk pembedahan?

Latar belakang

Fibroid rahim adalah ketumbuhan bukan barah di rahim, yang biasa terjadi pada wanita di peringkat pra-menopause. Kebanyakan fibroid tidak menimbulkan gejala, tetapi sebilangan wanita mengalami gejala yang ketara. Gejala biasa termasuklah pendarahan rahim yang tidak normal (lebih banyak, atau lebih lama daripada pendarahan haid biasa), tekanan pelvis (kekerapan kencing, sembelit), dan sakit pelvis. Rawatan untuk fibroid termasuk rawatan perubatan, pembedahan, atau kedua-duanya. Rawatan perubatan dianggap sebagai rawatan utama, untuk mengekalkan kesuburan, dan mengelakkan atau menunda pembedahan. Pembedahan mungkin boleh membuang fibroid, atau seluruh rahim, bergantung pada keadaan. Progestogen (ubat yang serupa dengan hormon semula jadi, progesteron ) boleh diambil secara oral, atau diberikan secara suntikan. Depot medroxyprogesterone acetate (DMPA) adalah hormon progesteron sintetik, yang diberikan melalui suntikan intramuskular, yang dapat menghalang pertumbuhan fibroid rahim. Sistem intrauterin yang mengeluarkan progestogen (levonorgestrel) (LNG-IUS) adalah alat yang diletakkan di dalam rahim, yang megeluarkan progesteron dan bertindak kepada endometrium, atau lapisan rahim, untuk mengurangkan aliran darah haid.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan empat ujian terkawal secara rawak, dengan jumlah 221 wanita dengan fibroid rahim; 161 wanita dipilih secara rawak untuk membandingkan LNG-IUS dengan rawatan perubatan lain (pil kontraseptif gabungan dos rendah (COC) atau progestogen oral (norethisterone asetat (NETA)), dan 60 wanita dipilih secara rawak untuk membandingkan progestogen oral dengan goserelin asetat (ubat suntikan yang menyekat hormon estrogen). Kajian tersebut melaporkan mengenai gejala yang berkaitan dengan fibroid rahim, seperti kehilangan darah haid, dan ukuran fibroid. Bukti ini adalah terkini sehingga Julai 2020.

Keputusan utama

Bukti berkualiti rendah menunjukkan bahawa kami tidak pasti sama ada menggunakan LNG-IUS mengurangkan pendarahan rahim yang tidak normal, atau meningkatkan tahap hemoglobin lebih banyak daripada mengambil COC atau NETA, pada wanita pra-menopause dengan fibroid rahim. Kami juga tidak pasti sama ada progestogen oral mengurangkan pendarahan rahim yang tidak normal berbanding dengan goserelin asetat. Wanita yang mengambil LNG-IUS, adalah lebih cenderung mengalami perdarahan daripada mereka yang mengambil NETA. Bukti mengenai ukuran fibroid dan kejadian buruk untuk progestogen kurang dilaporkan dan tidak dapat disimpulkan.

Kualiti bukti

Bukti tersebut adalah berkualiti sangat rendah. Batasan utama bukti adalah pelaporan kaedah kajian yang tidak baik (risiko berat sebelah yang tinggi atau tidak jelas), kekurangan penemuan yang tepat, dan bilangan kajian dan peserta yang sedikit.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Mohd Shaharudin Shah Che Hamzah (USM). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information