Suntikan langsung kortikosteroid ke dalam fetus berbanding suntikan kepada ibu untuk memperbaik hasil fetus apabila ibu berisiko melahirkan pramasa

Apakah isunya?

Bayi yang lahir pramasa (sebelum 37 minggu kehamilan) berisiko mati, mengalami perdarahan ke dalam otak dan bermasalah pernafasan kerana paru-paru mereka tidak berkembang sepenuhnya. Rawatan kortikosteroid kepada ibu sebelum kelahiran awal terbukti berkesan mencegah masalah ini dan menjadi penjagaan standard di kebanyakan negara. Kaedah lazim memberi kortikosteroid adalah dengan menyuntik ke dalam otot ibu. Rawatan kortikosteroid kemudian merentasi plasenta (dikenali sebagai pemindahan transplasental) kepada fetus. Rawatan ini berisiko tersendiri, seperti mengurangkan pertumbuhan fetus dan perkembangan otak serta meningkatkan risiko bayi untuk penyakit seperti kencing manis dan tekanan darah tinggi. Suntikan kortikosteroid terus ke fetus boleh dilakukan dengan panduan ultrasound.

Mengapakah ini penting?

Suntikan terus kortikosteroid ke janin, bukan suntikan ke otot ibu, mungkin dapat mencegah risiko peningkatan tekanan darah, peningkatan kadar glukosa darah dan kerentanan terhadap sepsis dalam kalangan ibu. Ia juga dapat mengurangkan amaun kortikosteroid yang diperlukan. Walau bagaimanapun, ia membawa risiko jangkitan rahim dan kecederaan fetus, dan mungkin menyebabkan kelahiran pramasa. Kami mendapati tiada kajian-kajian yang menilai manfaat dan mudarat suntikan terus ke dlam fetus berbanding suntikan kepada ibu.

Apakah bukti yang kami temui?

Kami mencari bukti pada 25 Oktober 2017 dan tidak menemui sebarang kajian rawak terkawal lengkap yang menilai manfaat dan mudarat suntikan terus kortikosteroid ke fetus berbanding suntikan kepada ibu, untuk wanita yang berisiko kelahiran pramasa. Kami mendapati dua kajian, tetapi salah satu bukan kajian rawak terkawal dan kajian yang satu lagi kaedahnya tidak jelas. Oleh itu, kami telah menghubungi penulis kajian untuk maklumat lanjut.

Apakah maksudnya?

Kami memerlukan kajian lanjutan untuk menilai kesan suntikan terus kortikosteroid ke dalam fetus berbanding suntikan ke dalam otot ibu. Bayi dalam kajian-kajian ini perlu disusul untuk tempoh yang panjang agar kami boleh pantau kesan kortikosteroid pada perkembangan kanak-kanak, termasuk gangguan atau ketidakupayaan seperti palsi serebral. Kami perlukan kajian rawak berkualiti tinggi untuk menentukan jika terdapat satu kaedah lebih baik daripada kaedah lain.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Noorlza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information