Penggunaan campuran serbuk vitamin dan mineral untuk mengukuhkan makanan pelengkap sebaik sebelum pengambilan makanan dan juga meningkatkan kesihatan dan pemakanan kanak-kanak di bawah dua tahun

Kekurangan vitamin dan mineral, terutamanya zat besi, vitamin A dan zink, menjejaskan kira-kira separuh daripada bayi dan kanak-kanak di bawah dua tahun di seluruh dunia. Penyusuan susu ibu sepenuhnya sehingga umur enam bulan dan penyusuan yang berterusan untuk sekurang-kurangnya dua tahun adalah disyorkan untuk mengekalkan kesihatan dan pemakanan yang mencukupi untuk kanak-kanak. Selepas enam bulan, walaupun bayi mula menerima makanan separa pepejal, jumlah vitamin dan mineral masih tidak mencukupi untuk memenuhi semua keperluan bayi yang semakin meningkat. Serbuk mikronutrien (MNP) adalah paket dos tunggal dengan serbuk yang mengandungi zat besi, vitamin A, zink dan vitamin dan mineral lain yang boleh ditaburkan dalam makanan separa pepejal di rumah atau di tempat-tempat lain untuk meningkatkan kandungan nutrien penting dalam diet bayi sewaktu tempoh ini. Ini dilakukan tanpa mengubah diet kebiasaan bayi.

Ulasan ini merangkumi 8 kajian berkualiti baik yang melibatkan 3748 bayi dan kanak-kanak dari negara-negara berpendapatan rendah di Asia, Afrika dan Caribbean. Kami mendapati bahawa pelbagai rumusan MNP yang mengandungi antara 5 hingga 15 vitamin dan mineral telah diberikan selama 2 hingga 12 bulan untuk bayi dan kanak-kanak berusia 6 hingga 23 bulan.

Penggunaan MNP yang mengandungi sekurang-kurangnya zat besi, zink dan vitamin A untuk pengukuhan makanan di rumah dikaitkan dengan penurunan risiko anemia dan kekurangan zat besi pada kanak-kanak di bawah dua tahun. Kajian-kajian tidak menemui sebarang kesan ke atas pertumbuhan. Walaupun penerimaan intervensi yang inovatif ini adalah tinggi, tidak ada manfaat tambahan untuk mengesyorkan titik atau sirup zat besi, bagaimanapun beberapa kajian telah membandingkan intervensi-intervensi yang berbeza ini. Tiada kematian dilaporkan dalam kajian-kajian ini dan maklumat mengenai kesan sampingan dan morbiditi, termasuk malaria, adalah sukar didapati. Penggunaan MNP adalah bermanfaat untuk bayi lelaki dan perempuan dan juga kanak-kanak dari 6 hingga 23 bulan, tanpa bergantung sama ada mereka mempunyai latar belakang dengan anemia dan malaria, atau sama ada intervensi telah diberikan untuk 2, 6 atau 12 bulan. Aturan yang paling sesuai untuk digunakan (setiap hari atau berselangan), komposisi vitamin dan mineral yang sesuai dalam campuran serbuk serta cara untuk menyampaikan intervensi ini secara berkesan dalam program kesihatan awam untuk menangani masalah kekurangan mikronutrien masih tidak jelas.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi LokeTimKhaw@imu.edu.my. Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information
Share/Save