Menggunakan serbuk vitamin dan mineral, dicampurkan ke dalam makanan pelengkap, untuk meningkatkan kesihatan dan pemakanan pada kanak-kanak bawah usia dua tahun

Soalan ulasan

Adakah menggunakan serbuk vitamin dan mineral, dicampurkan menjadi makanan pelengkap, meningkatkan kesihatan dan pemakanan pada kanak-kanak bawah usia dua tahun?

Latar belakang

Kekurangan vitamin dan mineral, terutamanya zat besi, vitamin A, dan zink, mempengaruhi lebih daripada dua bilion orang di seluruh dunia. Kanak-kanak kecil sangat terdedah kerana pertumbuhan pesat dan amalan diet yang tidak mencukupi. Penyusuan susu ibu sepenuhnya sehingga umur enam bulan, diikuti dengan pemberian makanan pelengkap yang digabungkan dengan penyusuan berterusan, adalah disyorkan untuk mengekalkan kesihatan dan pemakanan yang mencukupi untuk kanak-kanak. Setelah berumur enam bulan, bayi mula menerima makanan separa pepejal, tetapi jumlah vitamin dan mineral tidak mencukupi untuk memenuhi semua keperluan pertumbuhan dan perkembangan mereka. Serbuk mikronutrien berganda (MNP) adalah paket dos tunggal dengan serbuk yang mengandungi zat besi, vitamin A, zink dan vitamin dan mineral lain yang boleh dicampurkan kedalam makanan separa pepejal di rumah atau di tempat-tempat lain untuk meningkatkan kandungan vitamin dan mineral penting dalam diet bayi dan kanak-kanak kecil dalam tempoh ini. Ini dilakukan tanpa membuat perubahan lain pada diet biasa mereka.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari sehingga Julai 2019 untuk semua kajian yang menilai penggunaan MNP untuk meningkatkan kesihatan dan pemakanan kanak-kanak bawah usia dua tahun. Kami memasukkan 29 kajian yang melibatkan 33,147 bayi dan kanak-kanak dari negara-negara berpendapatan rendah di Asia, Afrika Latin Amerika dan Caribbean. Dua puluh enam kajian dengan 27,051 kanak-kanak menyumbang data. Dari 26 kajian ini, 24 membandingkan penggunaan MNP berbanding tanpa intervensi atau plasebo, dan 2 membandingkan penggunaan MNP berbanding suplemen zat besi (titisan zat besi) yang diberikan setiap hari. Kami mendapati bahawa pelbagai rumusan MNP yang mengandungi antara 5 hingga 22 vitamin dan mineral diberikan selama 2 hingga 44 bulan untuk bayi dan kanak-kanak 6 hingga 23 bulan. Sebilangan besar kajian dibiayai oleh program atau yayasan kerajaan; hanya 2 yang dibiayai oleh industri.

Keputusan-keputusan utama

Penggunaan MNP yang mengandungi sekurang-kurangnya zat besi, zink dan vitamin A untuk pengukuhan makanan di rumah dikaitkan dengan penurunan risiko anemia dan kekurangan zat besi pada kanak-kanak di bawah dua tahun. Juga, kepekatan hemoglobin dan status zat besi bertambah baik. Kajian tidak menemui sebarang kesan ke atas pertumbuhan. Tidak ada manfaat tambahan dalam mengurangkan risiko anemia dan meningkatkan kepekatan hemoglobin berbanding titisan zat besi atau sirap yang biasanya disarankan; namun, hanya dua kajian membandingkan intervensi yang berbeza ini. Tidak ada kajian yang melaporkan kematian disebabkan oleh intervensi. Maklumat mengenai kematian, kesan sampingan, dan kesakitan, termasuk malaria dan cirit-birit, jarang berlaku. Penggunaan MNP adalah bermanfaat untuk kanak-kanak 6 hingga 23 bulan, tanpa bergantung sama ada mereka mempunyai latar belakang anemia dan malaria dan tanpa mengira tempoh intervensi.

MNP lebih baik daripada tidak ada intervensi atau plasebo dan mungkin setanding dengan suplemen zat besi harian. Manfaat intervensi ini sebagai strategi survival kanak-kanak atau untuk hasil perkembangan masih belum jelas, dan penyelidikan lanjut diperlukan.

Kepatuhan pengambilan MNP adalah berubah-ubah dan dalam beberapa kes setanding dengan yang dicapai pada bayi dan kanak-kanak kecil yang menerima suplemen zat besi standard sebagai titisan atau sirap.

Kepastian bukti

Untuk perbandingan MNP dengan tanpa intervensi atau plasebo, kami menilai kepastian bukti yang sederhana untuk anemia dan tinggi untuk kekurangan zat besi. Kepastian bukti untuk semua hasil lain dalam perbandingan ini sama ada rendah atau sederhana.

Dua ujian yang membandingkan penggunaan MNP berbanding suplemen zat besi menunjukkan kesan yang serupa terhadap anemia dan hemoglobin tetapi kurang cirit-birit; namun, kami menilai kepastian bukti rendah untuk anemia dan sangat rendah untuk kepekatan hemoglobin kerana bilangan kecil peserta kajian.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save