Antioksidan untuk mengurangkan kesakitan dalam pankreatitis kronik

Pankreatitis kronik adalah keradangan pankreas yang berterusan yang dalam jangka masa panjang boleh menyebabkan kerosakan yang tidak boleh diperbaiki. Penyebab utama pankreatitis kronik adalah genetik, ketoksikan alkohol dan keadaan lain yang mungkin merosakkan atau menghalang pankreas. Keradangan ini boleh menyebabkan kesakitan yang selalunya teruk dan menyebabkan pesakit terasing secara sosial dan tidak dapat melakukan kerja mereka. Malangnya, pilihan rawatan adalah terhad, dan selalunya ubat sakit seperti morfin yang kuat diperlukan. Pesakit mungkin mendapat manfaat daripada ubat alternatif tanpa kesan buruk yang berkaitan dengan ubat seperti morfin. Ulasan ini meringkaskan bukti daripada kajian rawak mengenai kesan antioksidan dalam pankreatitis kronik. Antioksidan adalah bahan yang menghalang kerosakan sel yang disebabkan oleh hasil sampingan toksik oksigen dalam badan. Tahap produk sampingan ini meningkat dalam pankreatitis kronik. Antioksidan meliputi kumpulan besar yang mengandungi banyak produk semula jadi dan buatan manusia. Contohnya termasuk vitamin C, vitamin E, flavonoid (terdapat dalam teh dan koko) dan banyak ubat khusus. Kami menemui 12 kajian rawak mengenai topik ini. Kualiti kajian-kajian ini bercampur-campur, dan kebanyakannya mempunyai saiz sampel yang kecil dan kadar keciciran yang tinggi. Bukti menunjukkan bahawa antioksidan boleh mengurangkan kesakitan pada pesakit dengan pankreatitis kronik, tetapi pengurangan kesakitan yang dilaporkan adalah kecil. Sama ada penurunan kecil ini benar-benar memberi kesan kepada aduan pesakit tidak jelas. Memandangkan masalah metodologi kajian ini, kesimpulan yang kukuh tidak dapat dibuat. Penggunaan antioksidan mengakibatkan kesan sampingan pada kira-kira 16% peserta kajian. Kebanyakan kesan sampingan adalah ringan, seperti sakit kepala, loya dan sembelit. Walau bagaimanapun, peserta yang mengalami kesan sampingan ini cenderung untuk berhenti menggunakan ubat antioksidan. Hasil lain yang penting untuk membuat keputusan seperti penggunaan analgesik, kadar pemburukan pankreatitis dan kualiti hidup, tidak dilaporkan dengan baik. Oleh itu, kami tidak dapat membuat kesimpulan mengenai hasil ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan sila hubungi loketimkhaw@imu.edu.my

Tools
Information