Latar Belakang
Demensia vaskular adalah bentuk demensia biasa yang disebabkan oleh aliran darah yang lemah ke otak. Pada masa ini tiada rawatan yang terbukti dan berlesen untuk demensia vaskular. Cerebrolysin adalah ubat yang dibuat daripada otak khinzir dan diberikan sebagai suntikan. Di sesetengah negara, Cerebrolysin digunakan sebagai rawatan untuk demensia vaskular. Ringkasan sebelumnya pada tahun 2013 menilai semua kajian Cerebrolysin dan demensia vaskular. Kesimpulan yang pasti tentang sama ada Cerebrolysin adalah bermanfaat tidak dapat dibuat.
Tujuan ulasan
Kami ingin mengetahui sama ada Cerebrolysin boleh memberi manfaat kepada orang yang hidup dengan demensia vaskular. Kami sangat berminat dengan kesan ubat-ubatan terhadap daya ingatan dan pemikiran; fungsi harian; kesan sampingan; dan kualiti hidup untuk orang yang mengalami demensia vaskular dan penjaga mereka. Sekian lama masa telah berlalu sejak ulasan terakhir tentang Cerebrolysin, kami ingin mengemas kini ulasan dengan mencari sebarang kajian baru.
Apa yang telah kami lakukan
Kami mencari kajian yang menghuraikan kesan Cerebrolysin terhadap orang yang hidup dengan demensia vaskular. Kami mencari pangkalan data kajian saintifik, termasuk sumber dari negara-negara di mana Cerebrolysin biasa digunakan. Untuk dimasukkan ke dalam ulasan kami, kajian harus secara rawak menentukan sama ada orang telah dirawat dengan Cerebrolysin atau kajian perbandingan. Kami menggabungkan hasil kajian yang disertakan untuk menganggar kesan Cerebrolysin. Kami juga menilai sebaik mana kajian dilakukan dan sejauh mana keputusannya dapat dipercayai. Bukti adalah terkini sehingga Mei 2019.
Apa yang kami temui
Kami mendapati enam kajian melibatkan sejumlah 597 orang yang hidup dengan demensia vaskular. Kaedah rawatan Cerebrolysin berbeza merentasi kajian, dengan kekuatan Cerebrolysin dan tempoh rawatan yang pelbagai. Kajian-kajian melaporkan bahawa Cerebrolysin mempunyai kesan yang bermanfaat terhadap daya ingatan dan pemikiran dan fungsi harian. Tidak ada risiko kesan sampingan dengan rawatan. Tiada kajian yang menghuraikan kualiti hidup orang yang hidup dengan demensia vaskular atau penjaga mereka.
Walaupun kajian mencadangkan manfaat rawatan Cerebrolysin, hasilnya adalah tidak muktamad. Kajian yang disertakan mempunyai beberapa isu yang mungkin menyebabkan keputusan yang mengelirukan. Walaupun manfaat yang dilaporkan dalam kajian adalah nyata, kesannya adalah sederhana dan mungkin tidak penting kepada orang yang hidup dengan demensia. Terdapat keperluan untuk kajian yang besar dan dijalankan dengan baik untuk lebih memahami jika Cerebrolysin adalah rawatan yang berguna untuk orang yang hidup dengan demensia vaskular.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd;edu.my