Persidangan keadilan restoratif untuk mengurangkan residivisme pada pesalah muda

Bilangan anak muda yang melakukan kesalahan tetap menjadi perhatian di banyak negara, terutamanya melihat pada kadar tinggi mereka yang kemudian mengulangi kesalahan. Teknik yang semakin popular digunakan oleh pesalah muda, sebagai alternatif kepada proses pengadilan biasa, adalah dengan mengadakan Persidangan Keadilan Restoratif. Persidangan ini melibatkan pertemuan antara pesalah, mangsa, penyokong kedua-dua dan penyelaras persidangan. Persidangan ini memberi peluang kepada semua individu yang terlibat untuk berkongsi pengalaman mereka dan memutuskan bersama cara terbaik untuk memperbaiki kerosakan yang disebabkan oleh kesalahan tersebut. Dipercayai bahawa memberi peluang kepada pesalah untuk melakukan perbaikan atas apa yang telah mereka lakukan, bersama dengan pengampunan mangsa, meningkatkan kepuasan semua orang yang terlibat dan mengurangkan kemungkinan untuk mengulangi kesalahan. Tujuan ulasan ini adalah untuk melihat sama ada orang muda yang merupakan sebahagian daripada persidangan keadilan restoratif cenderung untuk mengulangi kesalahan daripada mereka yang menjalani proses pengadilan biasa. Empat kajian terkawal secara rawak dimasukkan dalam ulasan ini. Penemuan menunjukkan bahawa tidak ada perbezaan antara mereka yang menjadi sebahagian dari persidangan keadilan restoratif dan yang dalam proses pengadilan biasa dalam hal kadar pengulangan kesalahan setelah intervensi. Tidak ada perbezaan antara kedua-dua kumpulan ini dari segi perubahan harga diri atau kepuasan mereka terhadap proses tersebut. Hasilnya mungkin menunjukkan bahawa mangsa yang menjadi sebahagian daripada persidangan restoratif lebih berpuas hati daripada mereka yang menjadi sebahagian daripada persidangan mahkamah. Kualiti kajian yang disertakan adalah rendah. Penyelidikan yang lebih berkualiti tinggi yang menggunakan reka bentuk di mana peserta diperuntukkan secara rawak kepada kumpulan intervensi atau kawalan diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information