Pendidikan kepada orang yang menghidapi penyakit jantung koronari

Soalan ulasan

Apakah kesan penyampaian pendidikan pesakit sebagai sebahagian daripada rehabilitasi jantung berbanding dengan penjagaan yang biasa, keatas kadar kematian, kadar kesakitan, kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan (HRQoL) dan kos penjagaan kesihatan di kalangan pesakit-pesakit penyakit jantung koronari (CHD)?

Latar belakang

Penyakit jantung koronari (CHD) ialah satu punca kematian global yang paling lazim. Namun demikian, kini ramai orang hidup dengan penyakit jantung dan mungkin memerlukan sokongan untuk menguruskan simptom-simptom serta mengurangkan risiko masalah masa depan seperti sakit jantung. Pendidikan merupakan elemen yang lazim dalam pemulihan jantung, bertujuan untuk meningkatkan kesihatan dan hasilnya di kalangan pesakit yang menghadapi penyakit jantung. Ini adalah kemaskini ulasan terbitan tahun 2011.

Tarikh carian

Pencarian kajian telah dibuat sehingga Jun 2016.

Ciri-ciri kajian

Kami telah mencari ulasan saintifik untuk kajian rawak terkawal (eksperimen yang membahagikan peserta-peserta kepada satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan secara rawak) yang mengkaji keberkesanan rawatan berasaskan pendidikan berbanding dengan tiada pendidikan di kalangan orang pelbagai usia yang menghidapi CHD.

Kami telah menyertakan sembilan kajian baru yang membabitkan 8215 orang yang menghidapi penyakit jantung koronari yang membandingkan golongan yang mendapat pendidikan pesakit dengan tiada pendidikan. Kami telah menyertakan sebanyak 22 kajian yang mengkaji 76,864 orang yang menghidapi penyakit jantung, kebanyakkan mereka terselamat daripada sakit jantung, dan telah menjalani pembedahan pintasan jantung atau angioplasti (suatu prosedur membuka saluran darah tersekat yang membekalkan darah ke otot jantung.

Dana pembiayaan kajian

16 kajian telah melaporkan sumber dana; 6 tiada melaporkan sumber dana. 1 kajian dibiayai oleh penaja perindustrian, 4 oleh syarikat insurans kesihatan dan 11 oleh pihak kerajaan ataupun sumber awam.

Keputusan utama

Penemuan dalam pengemaskinian ini adalah serupa dengan versi ulasan lepas (2011). Pendidikan pesakit, sebagai sebahagian daripada program pemulihan jantung, tidak mengurangkan kematian, sakit jantung, pintasan jantung atau angioplasti, ataupun kemasukan hospital yang disebabkan oleh masalah jantung. Terdapat beberapa bukti tentang kekurangan masalah yang berkaitan dengan jantung dan peningkatan kesihatan dalam kualiti hidup dengan intervensi berasaskan pendidikan. Oleh kerana punca kematian individu tidak dilaporkan, kami tidak dapat menentukan bilangan orang dalam kajian ini yang meninggal dunia akibat daripada punca berkaitan dengan jantung ataupun sebab-sebab kematian yang lain.

Walaupun terdapat kekurangan informasi dalam memahami manfaat atau kemudaratan pendidikan pesakit bagi orang yang menghidapi penyakit jantung, penemuan penyelidik kami menyokong garis panduan terkini dimana orang yang menghidapi penyakit jantung harus menerima pemulihan komprehensif yang merangkumi pendidikan. Kajian yang lebih lanjut diperlukan untuk menilai cara yang paling sesuai secara klinikal dan kos efektif dalam memberi pendidikan kepada orang yang menghidapi penyakit jantung.

Kualiti bukti
Secara keseluruhannya, bukti telah dinilai sebagai sangat rendah hingga sederhana.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (International Medical University). Disunting oleh Chan Mei Wai (RCSI & UCD Malaysia Campus). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi peiyee95@hotmail.com atau chanmw@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information
Share/Save