Kesan koko keatas tekanan darah

Soalan ulasan

Kita menilai kesan produk-produk Koko atas tekanan darah pada orang dewasa apabila dimakan setiap hari untuk sekurang-kurangnya dua minggu. Kami mendapati 35 kajian yang meliputi 40 perbandingan rawatan.

Latar belakang

Coklat gelap dan produk koko kaya dengan sebatian kimia yang dikenali sebagai flavanols. Flavanols telah menarik minat kerana mereka mungkin boleh membantu untuk mengurangkan tekanan darah, faktor risiko yang diketahui bagi penyakit kardiovaskular (penyakit jantung dan saluran darah). Keupayaan flavonols bagi mengurangkan tekanan darah dianggap berkaitan dengan perluasan saluran darah yang disebabkan oleh nitrik oksida.

Ciri-ciri kajian

Kajian-kajian adalah pendek, kebanyakannya antara dua dan 12 minggu, dengan hanya satu selama 18 minggu. Kajian-kajian ini melibatkan 1804 orang dewasa yang sihat. Mereka membekalkan peserta dengan 30-1218mg flavanols (purata 670mg) dalam 1.4 ke 105 gram produk-produk koko setiap hari dalam kumpulan intervensi aktif. Tujuh daripada kajian-kajian ini dibiayai oleh syarikat yang mempunyai kepentingan komersil dalam keputusan mereka, dan kesan yang dilaporkan adalah sedikit lebih besar dalam kajian-kajian ini, menunjukkan kemungkinan berat sebelah. Bukti adalah terkini hingga November 2016.

Hasil utama

Meta-analisis yang membandingkan 40 rawatan menunjukkan penurunan tekanan darah (sistolik dan diastolik) yang kecil dari 1.8mmHg tetapi signifikan secara statistik. Pengurangan kecil darah ini mungkin melengkapi pilihan rawatan lain dan mungkin menyumbang kepada pengurangan risiko penyakit kardiovaskular.

Kami menyiasat sama ada tekanan darah peserta pada permulaan kajian, umur mereka, kesedaran tentang pembahagian kumpulan (aktif atau kawalan), kandungan flavanol yang digunakan di dalam Kumpulan kawalan, atau berapa lama kajian ini berlangsung boleh menerangkan perbezaan antara kajian. Walaupun status tekanan darah (tekanan darah tinggi atau tekanan darah normal) boleh menjadi faktor yang berkemungkinan atas saiz kesan koko pada tekanan darah, kesan faktor-faktor lain perlu disahkan atau ditolak dalam kajian selanjutnya.

Kesan-kesan sampingan termasuklah aduan penghadaman dan tidak suka pada produk percubaan tersebut telah dilaporkan oleh hanya 1% daripada orang-orang dalam Kumpulan intervensi yang aktif koko dan 0.4% daripada pesakit dalam kumpulan kawalan.

Ujian jangka panjang diperlukan untuk menentukan sama ada memakan dengan kerap produk-produk koko kaya dengan flavanol mempunyai kesan yang baik terhadap kesihatan kardiovaskular dan tekanan darah dari masa ke masa, dan sama ada terdapat sebarang kesan sampingan jangka panjang penggunaan produk-produk Koko pada setiap hari.

Kualiti bukti

Bukti adalah berkualiti sederhana. Kami tidak dapat mengenal pasti sebarang percubaan terkawal rawak yang menguji kesan jangka panjang penggunaan harian produk-produk koko pada tekanan darah, dan terdapat tiada ujian yang mengukur kesan kesihatan akibat tekanan darah tinggi, seperti serangan jantung atau strok.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi LokeTimKhaw@imu.edu.my.

Tools
Information
Share/Save