Pemeriksaan kesihatan sebelum memulakan kerja di pekerjaan baru untuk mencegah kecederaan, penyakit dan cuti sakit

Apakah tujuan pemeriksaan kesihatan sebelum memulakan kerja di pekerjaan baru?

Tujuan pemeriksaan pra-pekerjaan adalah untuk mengenalpasti orang yang mungkin lebih berisiko tinggi terhadap penyakit pekerjaan, kecederaan atau cuti sakit jika mereka diberi pekerjaan. Dengan tidak menggaji pemohon yang berisiko kesihatan lebih tinggi, ia mungkin dapat mencegah penyakit atau kecederaan. Kemungkinan manfaat kesihatan ini bagaimanapun mengakibatkan pemohon tidak mempunyai pekerjaan. Strategi pencegahan lain adalah menyelesaikan masalah yang ditemui semasa pemeriksaan dengan menukar tugas-tugas kerja atau dengan latihan kecergasan fizikal.

Bagaimana ini dikaji?

Kami menjalankan carian sistematik kajian-kajian yang telah diterbitkan sehingga 31 Mac 2015. Kami menemui sebelas kajian, merangkumi 7820 orang yang menilai keseluruhan proses pemeriksaan kesihatan, termasuk penolakan pemohon yang berisiko tinggi terhadap penyakit pekerjaan, kecederaan atau cuti sakit.

Apakah penemuan penyelidikan?

Salah satu kajian mendapati bahawa suatu pemeriksaan am tidak mengurangkan cuti sakit dalam kalangan pekerja tugas ringan berbanding dengan tiada intervensi. Walau bagaimanapun, satu lagi kajian mendapati bahawa rekrut-rekrut tentera adalah lebih sihat untuk bertugas setelah 12 bulan selepas pemeriksaan kesihatan. Keputusan adalah tidak konsisten dalam lima kajian yang membandingkan pemeriksaan pra-pekerjaan bagi pekerjaan berfokus dengan tanpa pemeriksaan kesihatan atau dengan pemeriksaan kesihatan umum. Pemeriksaan pra-pekerjaan juga boleh menyebabkan penolakan pemohon pekerjaan. Dalam enam kajian, kadar penolakan pemohon pekerjaan disebabkan oleh pemeriksaan kesihatan meningkat, secara purata, 2% hingga 35%, tetapi bukan dalam satu kajian yang sama. Dua daripada 11 kajian tersebut (merangkumi 2164 orang) membandingkan pemohon pekerjaan yang dianggap sihat semasa pemeriksaan kesihatan dengan mereka yang menerima syor tertentu untuk menangani isu-isu yang berkaitan dengan kesihatan berdasarkan pemeriksaan kesihatan. Kedua-dua kajian melaporkan tiada perbezaan pada kadar kecederaan rangka otot di antara kumpulan semasa susulan. Ini bermakna pemohon pekerjaan dapat menjaga masalah kesihatan yang dikenal pasti semasa pemeriksaan kesihatan mereka.

Kualiti bukti

Kami menilaikan kesemua perbandingan yang dikaji memberi bukti berkualiti sangat rendah.

Kesimpulan

Pemeriksaan kesihatan yang memfokus kepada risiko kesihatan pekerjaan tertentu mungkin berkesan. Menangani dengan baik potensi risiko kesihatan dengan menukar tugas-tugas kerja atau latihan kecergasan fizikal juga mungkin berkesan. Kami memerlukan lebih banyak kajian penilaian yang lebih berkualiti. Tidak membenarkan orang untuk bekerja dalam pekerjaan tertentu mungkin memberi kesan ke atas kesihatan mereka. Ia juga mengakibatkan kos kewangan. Kajian masa hadapan perlu menilai kedua-duanya.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Syafiqa M Saleh. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail. (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi syafiqa.saleh@gmail.com.

Tools
Information
Share/Save