Intervensi untuk merawat keresahan selepas strok

Soalan ulasan

Untuk menentukan sama ada sebarang rawatan boleh mengurangkan gejala keresahan, danseterusnya menambah baik kualiti hidup, bagi orang yang telah mengalami strok.

Latar belakang

Keresahan selepas strok sering terjadi dan boleh dirawat dengan antidepresan atau ubat yang mengurangkan keresahan lain, atau kedua-duanya, atau dengan terapi psikologi.

Ciri-ciri kajian

Bukti adalah terkini sehingga Januari 2017. Kami mendapati tiga kajian dengan 196 pesakit strok yang telah didiagnos dengan keresahan. Satu kajian menilai kesan CD relaksasi yang diguna lima kali seminggu selama satu bulan untuk peserta dengan diagnosis keresahan. Dua kajian menilai penggunaan antidepresan dalam kalangan peserta yang mempunyai kedua-dua keresahan dan kemurungan.

Keputusan utama

Satu kajian mendapati peserta kurang resah tiga bulan selepas menggunakan CD relaksasi jika dibandingkan dengan mereka yang tidak diberi terapi. Satu kajian melaporkan peserta kurang resah apabila dirawat dengan ubat antidepresan (paroxetine), atau dengan paroxetine dan psikoterapi, berbanding penjagaan standard. Kajian ini melaporkan separuh daripada peserta yang menerima paroxetine mengalami kesan sampingan termasuk mual, muntah, atau pening. Kajian ketiga juga melaporkan bahawa peserta kurang gelisah apabila dirawat dengan antidepresan (buspirone hydrochloride) berbanding penjagaan standard, dan hanya 14% yang menerima buspirone hydrocholoride melaporkan mual atau palpitasi.

Kualiti bukti

Kami menilai kualiti bukti ini sangat rendah. Kajian adalah sedikit dan masing-masing melibatkan sebilangan kecil peserta. Kajian-kajian yang menilai antidepresan tidak memasukkan perbandingan dengan ubat plasebo, dan maklumat dalam kedua-dua laporan kajian tidak cukup untuk membolehkan penilaian sama ada terdapat bias lain telah diperkenalkan. Kajian terapi relaksasi adalah sangat kecil, dengan kehilangan dua peserta yang menggunakan CD, dan proses merekrut kajian mungkin telah menarik para peserta yang ada bias positif terhadap terapi psikologi.

Rumusan

Bukti semasa tidak cukup untuk memberi panduan rawatan keresahan selepas strok. Kajian rawak tambahan yang baik adalah diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information