Soalan ulasan
Kami menilai keberkesanan dan keselamatan vaksin untuk mencegah kayap pada orang tua yang sihat.
Latar belakang
Virus varicella zoster menyebabkan cacar air dan boleh kekal tidak aktif di dalam sel-sel saraf selama bertahun-tahun. Virus ini boleh menjadi aktif semula, bergerak melalui saraf ke kulit dan menghasilkan lepuh di sepanjang perjalanan saraf. Keadaan ini dipanggil kayap (herpes zoster), dan kerap terjadi pada orang yang mempunyai imuniti yang rendah, seperti orang tua. Sebelum lepuh muncul, simptom mungkin termasuk kegatalan, kebas,, atau sakit setempat. Kayap menyebabkan keradangan saraf dan kesakitan yang teruk yang boleh menjejaskan kualiti hidup. Kadar kejadian kayap berkisar dari 2.08 kes kepada 6.20 kes bagi setiap 1000 orang-tahun (iaitu bilangan kes baru bagi setiap penduduk berisiko, dalam tempoh masa tertentu). Bilangan ini semakin meningkat, sebahagian kerana orang kini hidup lebih lama.
Ini adalah kemas kini Ulasan Cochrane yang terakhir dikemaskini pada 2016.
Tarikh carian
31 Januari 2019.
Ciri-ciri kajian
Kami memasukkan 11 kajian baru yang melibatkan 18,615 peserta dalam kemas kini ini. Ulasan ini kini merangkumi bukti dari 24 kajian yang melibatkan 88,531 peserta. Kebanyakan kajian telah dijalankan di negara yamg berpendapatan tinggi di Eropah dan Amerika Utara, manakala dua kajian telah dijalankan di Jepun. Peserta kajian adalah orang dewasa yang sihat berumur 60 tahun atau lebih tanpa kesukaran melawan jangkitan, yang kebanyakannya adalah wanita Kaukasia (difahami sebagai berkulit putih). Tempoh susulan adalah dari 28 hari hingga 7 tahun. Semua laporan kajian primer telah diterbitkan dalam Bahasa Inggeris.
Sumber dana kajian
Kebanyakan kajian dibiayai oleh syarikat farmaseutikal; satu kajian yang menerima pembiayaan daripada yayasan penyelidikan universiti.
Keputusan utama
Satu kajian besar dan berkualiti tinggi yang termasuk 38,546 peserta berumur 60 tahun atau lebih berbandingkan vaksin LZV dengan vaksin tiruan (plasebo) (satu dos diberikan melalui suntikan bawah kulit (subcutaneous)) dan mendapati bahawa vaksin aktif boleh mencegah kayap sehingga tiga tahun. Kesan buruk daripada vaksin itu kebanyakannya adalah ringan hingga sederhana, bagi gejala sistemik dan juga untuk reaksi di tempat suntikan.
RZV adalah vaksin baru yang mengandungi sebahagian kecil virus varicella zoster bercampur adjuvan. Adjuvan adalah bahan yang meningkatkan reaksi badan terhadap rangsangan (bakteria, virus, dan bahan yang kelihatan asing dan berbahaya) untuk mempertahankan dirinya. Vaksin ini memerlukan sebanyak dua dos intramuskular, yang diberikan dua hingga enam bulan berasingan. Dua kajian (29,311 peserta untuk penilaian keselamatan dan 22,022 peserta untuk penilaian keberkesanan) berbandingkan RZV dengan plasebo dan melaporkan bahawa orang yang menerima RZV mempunyai kurang episod kayap tetapi lebih kesan sampingan gejala sistemik dan reaksi di tapak suntikan. Kebanyakan peserta melaporkan bahawa kesan buruk ini adalah ringan hingga sederhana. Adalah penting untuk diambil perhatian bahawa bilangan peserta yang tidak menerima dos kedua adalah lebih tinggi dalam kumpulan vaksin berbanding dalam kumpulan plasebo.
Kualiti bukti
Kami menilai kualiti bukti keseluruhan sebagai sederhana kerana kajian-kajian ini melibatkan ramai peserta.
Diterjemahkan oleh Nila Pillai (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Tan May Loong (RCSI & UCD Malaysia Campus). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my