Mikroorganisma hidup untuk pencegahan atau rawatan cirit-birit dikalangan pesakit kanser yang dirawat dengan kemoterapi atau radioterapi

Latar belakang
Terdapat sehingga 80% orang yang dirawat dengan kemoterapi atau radioterapi disebabkan kanser menderita cirit-birit - salah satu kesan sampingan yang paling kerap dan menyusahkan. Cirit-birit yang teruk boleh menyebabkan dehidrasi (kehilangan bendalir badan dan garam) dan malnutrisi yang disebabkan perubahan kepada penghadaman dan tabiat buang air besar serta boleh menjejaskan kualiti kehidupan. Ia juga bersangkutan dengan peningkatan risiko jangkitan di kalangan pesakit yang kiraan sel darah putih yang rendah yang berkait dengan rawatan kanser. Cirit-birit sering menyebabkan penangguhan rawatan kanser atau keperluan untuk merendahkan dos rawatan bahkan sehingga menghentikan rawatan kanser. Makanan mengandungi bakteria hidup atau yis (probiotik) mungkin mempunyai kesan bermanfaat ke atas kejadian dan keterukan cirit-birit .

Matlamat ulasan
Untuk menilai kesan mikroorganisma hidup (probiotik) bagi mencegah kejadian atau mengurangkan keterukan cirit-birit di kalangan pesakit kanser yang menerima rawatan kemoterapi atau radioterapi.

Penemuan utama
Secara keseluruhannya, kajian-kajian yang kami temui tidak memberi jawapan jelas sama ada probiotik mengurangkan kejadian atau keterukan cirit-birit, menambah baik kualiti hidup, atau mengurangkan keperluan terhadap ubat-ubatan lain. Namun demikian, analisis terhadap kajian yang dijalankan dengan baik menunjukkan kesan bermanfaat untuk beberapa hasil akhir.

Berkenaan pencegahan cirit-birit berbanding plasebo di kalangan peserta yang dirawat dengan radioterapi bersama dengan kemoterapi ataupun tidak, kami tidak dapat menyimpulkan sama ada penggunaan probiotik akan memberi manfaat berdasarkan lima kajian yang relevan.

Untuk pencegahan atau tidak yang disebabkan kemoterapi sahaja, tiga kajian menunjukkan penggunaan probiotik mungkin tidak mengurangkan cirit-birit, dan satu kajian melaporkan pengurangan dalam penggunaan ubat-ubatan simptomatik untuk cirit-birit .

Tiga kajian yang membandingkan probiotik dengan agen lain untuk mencegah cirit-birit dalam kalangan pesakit yang dirawat dengan radioterapi bersama atau tidak dengan kemoterapi menemui kesan bermanfaat probiotik ke atas kejadian dan keterukan cirit-birit serta keperluan untuk ubat-ubatan simptomatik.

Dari segi rawatan cirit-birit disebabkan oleh radioterapi, kami menemui hanya satu kajian yang tidak menunjukkan kesan jelas probiotik berbanding plasebo.

Tiada kajian yang melaporkan kejadian kesan buruk yang serius atau kematian yang berkaitan dengan cirit-birit .

Kepastian tentang bukti
Kualiti (kepastian) bukti dalam kajian-kajian pencegahan adalah dari rendah ke sangat rendah. Satu-satunya kajian yang menilai kesan probiotik terhadap rawatan cirit-birit, kepastian bukti adalah sederhana.

Apakah kesimpulannya?
Bukti yang menyokong probiotik dalam mencegah atau merawat cirit-birit yang berkait dengan rawatan kanser adalah tidak mencukupi. Namun demikian, probiotik nampaknya selamat kerana tiada kajian menunjukkan kesan-kesan sampingan yang buruk.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wan Rosalina Wan Rosli, Cyberjaya University College of Medical Sciences. Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi wanrosalinawanrosli@gmail.com

Tools
Information