Masa penyedutan garam hypertonik dalam mereka yang mempunyai fibrosis sista

Soalan ulasan

Kami menyemak bukti mengenai sama ada masa (berhubung dengan teknik pembersihan saluran udara atau berhubung dengan masa hari) garam hypertonik (yang kuat, steril, larutan air garam) melalui penyedut meningkatkan sifat fizikal sputum, merangsang batuk, meningkatkan hasil klinikal (seperti fungsi paru-paru), dan meningkatkan kesan yang dilihat teknik pembersihan saluran udara dalam fibrosis sista. Ini merupakan kemaskini penerbitan Ulasan Cochrane yang terdahulu.

Latar belakang

Penyedutan kerap garam hypertonik meningkatkan hasil klinikal mereka yang mempunyai fibrosis sista. Tidak pasti sama ada lebih baik menyedut garam hypertonik sebelum, semasa atau selepas pembersihan saluran pernafasan dengan teknik fizikal, atau sama ada lebih baik menyedut pada waktu pagi atau petang. Kami mencari kajian yang membandingkan regimen pada masa berbeza.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga: 28 Februari 2019.

Ciri-ciri kajian

Ulasan ini melibatkan tiga kajian dengan 77 orang dengan fibrosis sista berumur antara 18 dan 64 tahun. Kajian ini melihat kesan ke atas masa sedutan garam hypertonik terhadap teknik pembersihan saluran pernafasan. Kajian ini melaporkan hasil serta-merta selepas sedutan garam hypertonik sebelum, semasa atau selepas teknik pembersihan saluran pernafasan secara fizikal. Semua kajian adalah singkat, melibatkan satu hingga tiga rawatan pada setiap regimen.

Keputusan utama

Walaupun dapatan seperti fungsi paru-paru tidak menunjukkan perbezaan antara regimen, pesakit dengan fibrosis sista merasakan bahawa menyedut garam hypertonik sebelum atau semasa teknik pembersihan saluran pernafasan mungkin lebih berkesan dan memuaskan daripada menyedut garam hypertonik selepas pembersihan saluran pernafasan. Tiada kajian membandingkan sedutan pada waktu pagi dan petang. Keberkesanan jangka panjang garam hypertonik hanya diterbitkan untuk penggunaan dua kali sehari; Walau bagaimanapun, jika hanya satu dos sehari diterima, masa dalam hari di mana ia disedut boleh berdasarkan kemudahan atau toleransi sehingga bukti lanjut didapati.

Kualiti bukti

Secara keseluruhan, kualiti bukti adalah rendah. Satu-satunya isu yang mungkin menjejaskan kualiti adalah kenyataan bahawa tidak mungkin peserta dibutakan terhadap rawatan yang diterima. Walau bagaimanapun, kerana kajian itu berjangka pendek dan kebanyakan dapatan penting adalah berdasarkan persepsi keberkesanan, maka masa pemberian garam hypertonik memerlukan kajian lanjutan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save