Terapi osmosis ditambah kepada antibiotik untuk meningitis bakteria akut

Apakah matlamat ulasan ini?

Matlamat ulasan Cochrane ini adalah untuk mengumpul dan menganalisis kajian-kajian yang menilai terapi osmotik oral atau intravena kepada orang dengan meningitis bakteria akut. Para penyelidik Cochrane telah mengumpul dan menganalisis semua kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini; mereka mendapati lima kajian yang relevan.

Mesej-mesej utama

Memberi gliserol, diuretik osmotik, mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas kematian (bukti kepastian sederhana), tetapi mungkin mengurangkan kepekakan berikutnya(bukti kepastian sederhana) atau ketakupayaan neurologi (bukti kepastian rendah). Bukti adalah terkini sehingga: 17 Febuari 2017.

Apa yang dikaji dalam ulasan ini?

Dalam meningitis, cecair serebrospinal yang mengelilingi otak dan korda spina dijangkiti, biasanya akibat penyebaran dari darah. Sebarang bentuk meningitis boleh mengakibatkan kematian atau ketakupayaan yang teruk, tetapi meningitis bakteria akut boleh membawa maut dengan segera tanpa rawatan. Walaupun dengan antibiotik, 10% hingga 15% kanak-kanak dengan meningitis bakteria mati di negara-negara berpendapatan tinggi dengan kadar yang lebih tinggi berbanding persekitaran pendapatan rendah. Jangkitan menyebabkan otak membengkak, dan ini dianggap menyumbang kepada kematian dan kerosakan jangka masa panjang otak dalam kalangan mangsa. Terapi osmotik meningkatkan kepekatan darah dengan mengenakan tekanan osmotik di seluruh membran separa telap (seperti dinding sel atau lapisan saluran darah di otak). Ini menarik air dari otak ke dalam darah, dengan itu mengurangkan tekanan dalam otak. Terapi osmotik berpotensi meningkatkan kadar survival atau boleh membahayakan.

Apakah keputusan-keputusan utama ulasan ini?

Kami memasukkan lima kajian yang membandingkan gliserol dengan plasebo di dalam sejumlah 1451 pesakit dengan meningitis bakteria. Dalam kajian-kajian tersebut, steroid sering diberikan tetpi tidak dilihat mengubah sebarang kesan yang dilihat dengan gliserol.

Ulasan ini mengesan tiada manfaat daripada gliserol yang dikaitkan dengan kematian. Terdapat perlindungan marginal terhadap kepekakan dan ketakupayaan neurologi. Tiada kesan ke atas serangan epilepsi pada tempoh susulan diperhatikan. Gliserol tidak dikaitkan dengan sebarang kesan buruk yang teruk. Bilangan kajian yang dimasukkan adalah kecil dan hanya dua yang menguji sejumlah besar peserta. Semua kajian adalah dari pelbagai persekitaran penjagaan kesihatan dan menilai sama ada orang dewasa atau kanak-kanak.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save