Bagaimanakah taxane patut diberikan sebagai agen kemoterapi tunggal pada wanita dengan kanser epitelium ovari berulang?

Latar belakang
Terdapat pelbagai pilihan kemoterapi untuk rawatan kanser epitelium ovari berulang. Keputusan ketika berulang termasuk bukan sahaja jenis ubat, tetapi juga dos dan masa pemberian. Taxane boleh diberikan sebagai regimen sekali seminggu (pada dos yang lebih rendah) atau tiga minggu (pada dos yang lebih tinggi), yang mungkin menyebabkan perbezaan pada keterukan dalam kesan sampingan dan keberkesanan. Disebabkan penyakit berulang mencadangkan penyakit yang tidak dapat diubati; ia adalah lebih penting untuk mempertimbangkan kesan-kesan sampingan dan kesan jadual rawatan, serta kualiti hidup, dan bukan sahaja rawatan yang memberi kesan pemanjangan hayat.

Objektif
Untuk menilai manfaat dan kesan sampingan kemoterapi taxane pada selang rawatan yang berbeza dan dos yang berbeza untuk wanita dengan kanser epitelium ovari berulang.

Kaedah
Kami menyertakan kajian rawak terkawal (RCTs) (kajian klinikal di mana orang dimasukkan secara rawak ke dalam satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) dengan dua atau lebih rawatan taxane untuk wanita dengan kanser epitelium ovari berulang. Hasil klinikal yang kami periksa adalah: 1) kelangsungan hidup secara keseluruhan - berapa lama peserta hidup selepas diagnosis mereka; 2) kadar tindak balas - berapa ramai peserta yang mempunyai bukti imbasan atau ujian darah yang menunjukkan kanser ovari mereka mengecil dalam saiz sebagai tindak balas kepada kemoterapi; 3) kelangsungan hidup tanpa perkembangan - jumlah masa seseorang peserta hidup dengan penyakit tanpa bukti ia terus membesar; 4) ketoksikan neuro - berapa ramai peserta mengalami kerosakan saraf yang menyebabkan masalah deria atau koordinasi motor, biasanya pada tangan dan kaki mereka; 5) neutropenia - berapa ramai peserta yang mengalami penurunan berbahaya pada sel darah putih (neutrofil) yang boleh menyebabkan jangkitan; 6) alopesia - berapa ramai peserta yang mengalami keguguran rambut pada tahap yang tinggi; 7) kualiti hidup - satu ukuran untuk kesan keseluruhan penyakit dan rawatan kepada kehidupan harian peserta; ini dirakamkan melalui soal selidik.

Kami melakukan analisis statistik mengikut metodologi Cochrane.

Keputusan
Kami menyertakan empat RCTs yang kami nilaikan sebagai berisiko rendah untuk berat sebelah, iaitu hasil kajian berkemungkinan mencerminkan perbezaan yang saksama antara kumpulan yang dikaji. Kajian-kajian ini menyertakan data untuk 981 wanita yang telah mengalami kanser epitelium ovari berulang.

Rawatan taxane mingguan berbanding tiga mingguan
Kami mendapati bahawa mungkin sedikit atau tiada perbezaan dalam tempoh masa wanita hidup selepas rawatan dan mungkin sedikit atau tiada perbezaan dalam masa diambil untuk kanser mereka membesar semula sekiranya taxane diberikan secara mingguan atau tiga mingguan. Mungkin sedikit atau tiada perbezaan dalam bilangan wanita yang mempunyai bukti pengecilan kanser mereka sebagai tindak balas kepada rawatan taxane sekirannya diberikan secara mingguan atau tiga mingguan.

Walau bagaimanapun, kami mendapati bahawa kemungkinan terdapat perbezaan dalam kesan sampingan antara regimen mingguan dan tiga mingguan. Wanita mungkin mengalami keguguran rambut (alopesia) yang lebih teruk dan lebih berkemungkinan untuk mendapat neutropenia (satu tahap sel darah putih yang rendah, yang menyebabkan jangkitan) dalam rawatan paclitaxel tiga mingguan berbanding dengan rawatan taxane pada dos lebih rendah secara lebih kerap dengan rawatan mingguan. Mungkin terdapat atau mungkin tiada peningkatan risiko untuk ketoksikan neuro (kerosakan saraf) dengan tiga mingguan paclitaxel apabila diberikan pada dos yang lebih tinggi, tetapi kami mempunyai kepastian yang rendah terhadap hasil kajian ini.

Dos taxane yang berbeza diberikan setiap tiga minggu
Wanita yang menerima dos taxane yang lebih rendah setiap tiga minggu mungkin mendapat kurang ketoksikan neuro dan kami mempunyai kepastian yang sederhana dalam keputusan ini. Kami mendapati terdapat kemungkinan sedikit atau tiada perbezaan dalam tempoh masa wanita hidup atau tempoh masa yang diambil untuk kanser mereka membesar selepas rawatan antara kumpulan tersebut.

Kesimpulan
Wanita yang menerima paclitaxel mingguan mungkin mengalami kesan sampingan yang kurang, serta wanita yang menerima dos yang lebih rendah secara tiga mingguan. Perubahan kepada dos yang lebih rendah setiap tiga minggu, atau penjadualan mingguan dengan dos lebih rendah, mungkin menghasilkan sedikit atau tiada perbezaan dalam tempoh kelangsungan hidup wanita selepas rawatan. Rawatan mingguan mungkin menawarkan kesan rawatan yang sama dengan kesan sampingan yang kurang, walaupun dengan kos lawatan ke hospital yang lebih kerap.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Leong Siew Lian (Monash University Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information