Terapi ubat untuk merawat paras asid urik tinggi dalam kalangan orang dengan tekanan darah tinggi

Latar belakang

Ini adalah kemas kini kedua Ulasan Cochrane ini. Bukti adalah terkini sehingga Mei 2020.

Asid urik adalah produk akhir semulajadi penghuraian tisu badan dan pemakanan seseorang, terutama protein. Asid urik biasanya dikeluarkan dari darah oleh ginjal dan dikeluarkan dari badan dalam kencing. Jika terlalu banyak asid urik terhasil, atau ginjal tidak dapat mengeluarkannya dari darah, paras asid urik dalam darah meningkat (disebut hiperurisemia). Hubungan di antara hiperurisemia dengan tekanan darah tinggi (hipertensi) telah dikenal sejak kurun ke19. Ulasan ini bertujuan menilai sama ada mengurangkan paras asid urik dalam darah boleh menurunkan tekanan darah.

Ciri-ciri kajian

Dalam kemas kini ini, kami memeriksa 722 rekod, dan memilih 26 untuk penilaian lanjut. Kami tidak menemui sebarang kajian tambahan untuk ditambah kepada tiga kajian (211 peserta) yang telah disertakan dalam ulasan. Kajian ini menilai remaja dan dewasa. Ia membandingkan terapi ubat, yang diberi untuk menurunkan asid urik, dengan plasebo, dalam kalangan orang yang didiagnosis dengan hipertensi.

Apakah yang dinyatakan oleh penyelidikan

Kami mendapati keputusan yang tidak konklusif sama ada terapi ubat untuk menurunkan asid urik menurunkan tekanan darah lebih dari plasebo, dalam kalangan orang dengan tekanan darah tinggi dan paras asid urik darah yang tinggi. Terapi ubat menurunkan paras asid urik darah lebih baik dari plasebo. Keputusan untuk kesan sampingan tidak konklusif antara kumpulan terapi ubat dan kumpulan plasebo.

Tiada bukti cukup untuk menunjukkan ubat-ubatan yang menurunkan paras asid urik dalam darah juga menurunkan tekanan darah dalam kalangan orang dengan hipertensi. Lebih banyak penyelidikan tentang persoalan ini diperlukan.

Kepastian bukti

Bukti kepastian rendah gagal mengesahkan sama ada terapi ubat untuk merawat paras asid urik darah yang tinggi dapat menurunkan tekanan darah. Kami menurunkan kepastian bukti kerana kajian menunjukkan data yang terhad dan keputusan yang tidak konsisten untuk hasil ini.

Bukti berkualiti tinggi mendapati terapi ubat yang menurunkan asid urik dapat menurunkan asid urik.

Bukti kepastian rendah gagal membuktikan sama ada terapi ubat meningkatkan kesan sampingan. Kami menurunkan kepastian bukti kerana isu-isu dengan reka bentuk kajian, kekurangan data dan keputusan yang tidak konsisten dalam kajian-kajian.

Kami tidak pasti jika kajian masa depan tidak akan mengubah kesimpulan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Lai Nai Ming (School of Medicine, Taylor's University, Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi ncochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information