Bolehkah agonis dopamine mencegah gejala ovari terlebih rangsangan dalam kalangan wanita yang sedang menjalani rawatan kesuburan IVF atau ICSI?

Mengapa kami melakukan Ulasan Cochrane ini

Kami ingin mengetahui sama ada agonis dopamin berkesan dan selamat untuk mencegah gejala ovari terlebih rangsangan (OHSS) pada wanita yang berisiko tinggi mendapat OHSS (contohnya wanita dengan ovari polisistik atau sebilangan besar telur selepas rangsangan ovari) menjalani persenyawaan in vitro (IVF) atau suntikan sperma intracytoplasmik (ICSI). Sejauh mana keberkesanan ubat-ubatan ini dibandingkan dengan jenis ubat lain atau menahan rangsangan ovari selama beberapa hari (disebut pelayaran)?

Latar belakang

IVF (telur dan sperma dicampurkan di makmal dan embrio yang dihasilkan dimasukkan ke dalam rahim) atau ICSI (prosedur IVF di mana sel sperma tunggal disuntik terus ke telur di makmal dan embrio yang dihasilkan dimasukkan ke dalam rahim) adalah rawatan untuk kemandulan. Untuk melakukan ini, ovari (organ pembiakan wanita) dirangsang untuk menghasilkan lebih banyak telur dengan memberikan wanita ubat hormon. OHSS ialah komplikasi rangsangan ovari dalam rawatan IVF atau ICSI di mana terlalu banyak telur terhasil, ovari membengkak, dan cairan bocor ke bahagian badan yang lain, mengakibatkan kembung perut, pembekuan darah, dan penurunan darah dan oksigen ke organ penting. Dalam kebanyakan kes, keadaan ini adalah ringan dan diselesaikan tanpa rawatan, tetapi sesetengah wanita mengalami OHSS yang sederhana atau teruk, yang memerlukan kemasukan ke hospital. Tidak ada penawar untuk OHSS selain daripada menunggu ia hilang sendiri dan menguruskan gejala sehingga ia hilang.

Agonis dopamin adalah ubat yang dapat mencegah kebocoran cairan dari saluran darah ke bahagian tubuh yang lain, yang merupakan masalah utama dalam OHSS.

Beberapa rawatan telah dicadangkan untuk mencegah OHSS. Contohnya, pelayaran, atau ubat-ubatan yang menyimpan cairan di saluran darah (agonis dopamin, albumin manusia, pati hidroksietil, kalsium, atau diosmin) atau fungsi organ sokongan (prednisolone).

Apa yang kami temui

Kami menemui 22 kajian rawak terkawal (sejenis kajian yang memberikan bukti yang paling boleh dipercayai mengenai kesan rawatan) melibatkan 3171 wanita berisiko tinggi OHSS yang menilai tiga agonis dopamin (cabergoline, bromocriptine, dan quinagolide). Enam kajian adalah baru dalam kemas kini ini. Ukuran hasil utama adalah bilangan kes baru (insiden) OHSS yang sedarhana atau buruk dan kadar kelahiran hidup. Bukti adalah terkini sehingga 4 Mei 2020.

Keputusan utama

Agonis dopamin berbanding rawatan plasebo/tiada rawatan

Agonis dopamine dapat mengurangkan insiden OHSS sederhana atau teruk dalam kalangan wanita berisiko tinggi OHSS berbanding dengan plasebo (rawatan palsu) atau tiada rawatan. Ini menunjukkan bahawa setiap 100 wanita yang menjalani IVF atau ICSI, 27 wanita yang mengambil plasebo atau tidak menerima rawatan akan mengalami OHSS sederhana atau teruk, berbanding lapan hingga 14 wanita yang menggunakan agonis dopamin. Agonis dopamin mungkin meningkatkan hasil kehamilan, tetapi kami tetap tidak yakin apakah ia mungkin meningkatkan kesan sampingan yang ringan, seperti sakit perut, merasa sakit, atau pening. Kami tidak pasti tentang kesan agonis dopamin terhadap hasil kehamilan, kerana, data kehamilan jarang dilaporkan.

Agonis dopamin ditambah rawatan lain berbanding rawatan lain

Mengambil agonis dopamin digabungkan dengan rawatan aktif yang lain mungkin mengurangkan risiko OHSS sederhana atau teruk berbanding wanita yang mengambil rawatan aktif lain sahaja. Ini bermaksud bahawa daripada 100 wanita yang menjalani rawatan dengan rawatan aktif lain sahaja untuk OHSS, 11 wanita akan mengalami OHSS sederhana atau teruk berbanding tiga hingga sembilan wanita yang menggunakan agonis dopamin ditambah dengan rawatan aktif yang lain. Kami tetap tidak pasti jika dopamin digabungkan dengan rawatan lain meningkatkan hasil kehamilan dan kesan sampingan.

Agonis dopamin berbanding rawatan lain

Kami tidak pasti sama ada agonis dopamin cabergoline menurunkan kadar OHSS berbanding dengan rawatan aktif lain (contohnya pati hidroksietil, prednisolon, infusi kalsium atau pelayaran). Kami tidak pasti sama ada cabergoline meningkatkan hasil kehamilan berbanding dengan intervensi lain. Tidak ada kesan sampingan dalam satu-satunya kajian untuk perbandingan ini.

Kualiti bukti

Kualiti bukti berkisar dari sangat rendah hingga sederhana. Batasan termasuk pelaporan kaedah kajian yang lemah dan ketidaktepatan (kekurangan insiden, terlalu sedikit kajian yang disertakan) untuk setengah perbandingan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Chan MW (RCSI &UCD Malaysia Campus). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan sila hubungi loketimkhaw@imu.edu.my

Tools
Information
Share/Save