Antidepresan untuk rawatan orang dengan kedua-dua kemurungan dan ketergantungan alkohol

Soalan ulasan

Ulasan ini menyiasat sama ada antidepresan mengurangkan keterukan kemurungan atau ketergantungan alkohol (atau kedua-duanya) dalam kalangan orang dengan kemurungan berserta ketergantungan alkohol.

Latar belakang

Kejadian kemurungan utama dalam kalangan orang yang menjalani rawatan untuk ketergantungan alkohol adalah lazim dan ia meningkatkan keterukan keadaan dan mengurangkan keberkesanan rawatan. Rawatan orang-orang ini dengan ubat-ubatan adalah mencabar. Dalam ulasan ini, kami membandingkan keputusan yang diperolehi oleh orang yang mengalami kemurungan berserta ketergantungan alkohol yang dirawat dengan ubat antidepresan dengan yang dirawat dengan plasebo (rawatan palsu/pura-pura) atau rawatan lain.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga Julai 2017.

Ciri-ciri kajian

Kami mengenal pasti 33 kajian melibatkan 2242 peserta: 68% adalah lelaki, dan purata usia adalah 42 tahun.

Kebanyakan kajian membandingkan antidepresan dengan plasebo (22 kajian), tetapi ada yang membandingkan satu antidepresan dengan antidepresan lain (lima kajian), dengan jenis ubat lain (empat kajian), atau dengan psikoterapi (rawatan bercakap; dua kajian). Tempoh purata kajian adalah 10 minggu (julat 3 hingga 26 minggu). Sejumlah 18 kajian dilakukan di AS, dan yang lain adalah di Eropah, Turki, dan Australia. Antidepresan yang diguna dalam kebanyakan kajian adalah sertraline; yang lain adalah: amitriptyline, citalopram, desipramine, doxepin, escitalopram, fluoxetine, fluvoxamine, imipramine, mianserin, mirtazepine, nefazodone, paroxetine, tianeptine, venlafaxine, dan viloxazine. Kajian-kajian menggunakan 49 skala penilaian yang berbeza dan bervariasi dari segi reka bentuk, kualiti, ciri-ciri peserta, ubat-ubatan yang diuji, perkhidmatan yang diberi, dan rawatan yang diberi.

Sejumlah 19 kajian melaporkan sumber pembiayaan (dana awam: enam kajian; industri farmaseutikal: dua kajian; kedua-dua dana: 10 kajian).

Hanya empat kajian melaporkan pengisytiharan penulis yang melaporkan kemungkinan konflik kepentingan.

Keputusan utama

Dalam 22 kajian yang membandingkan antidepresan dengan plasebo, antidepresan mungkin mengurangkan keterukan kemurungan tetapi kami tidak pasti sama ada ia meningkatkan bilangan orang dengan kesan klinikal bermanfaat dari pengurangan keterukan kemurungan (respon kepada rawatan, iaitu orang yang dapat mengurangkan separuh keterukan kemurungan). Walau bagaimanapun, kami tidak menemui perbezaan antara antidepresan dan plasebo dalam hasil relevan lain yang berkait dengan keterukan kemurungan, seperti bilangan orang tanpa kemurungan di akhir kajian (remisi).

Tambahan juga, kami mendapati pemberian antidepresan mungkin mengurangkan pengambilan alkohol yang dinilai sebagai bilangan peserta yang berpantang semasa rawatan (lebih tinggi dalam kalangan peserta yang menerima antidepresan berbanding plasebo) dan bilangan minuman yang diambil setiap hari minum (lebih rendah dalam kalangan peserta yang menerima antidepresan berbanding plasebo). Walau bagaimanapun, seperti yang kami dapati untuk keterukan kemurungan, kami juga dapati pemberian antidepresan tidak mempengaruhi hasil relevan lain yang berkait dengan ketergantungan alkohol, seperti kadar hari berpantang, bilangan peminum tegar, dan masa sebelum relaps pertama.

Dari segi isu keselamatan, kadar orang yang menarik diri dari rawatan akibat kesan sampingan (kesan yang tidak diingini seperti mulut kering) mungkin tidak berbeza di antara antidepresan dan plasebo.

Terdapat beberapa kajian yang membandingkan satu antidepresan dengan antidepresan lain atau intervensi lain, dan kajian mempunyai sebilangan kecil peserta dan perbandingan yang sama tidak dibuat oleh lebih dari satu kajian, dan oleh itu tidak bermaklumat.

Kualiti bukti

Kualiti kajian-kajian yang disertakan adalah rendah atau sederhana untuk keterukan kemurungan, pantang alkohol, kadar penarikan diri dari kajian kerana alasan perubatan, dan keciciran. Dalam analisis subkumpulan, dalam kes satu jenis ubat, dan perbandingan dengan ubat lain, penemuan ulasan dibatasi oleh bilangan kajian sedia ada yang kecil.

Kesimpulan penulis

Terdapat bukti berkualiti rendah yang menyokong penggunaan antidepresan dalam rawatan orang yang mengalami kemurungan berserta ketergantungan alkohol. Antidepresan mempunyai kesan positif terhadap hasil relevan tertentu yang berkait dengan kemurungan dan penggunaan alkohol tetapi tidak bagi hasil lain yang sama relevan. Walau bagaimanapun, risiko kesan sampingan dilihat minimum, terutama untuk kelas antidepresan yang lebih baru.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save