Intervensi ergonomik untuk mencegah masalah muskuloskeletal anggota atas dan leher dalam kalangan pekerja pejabat

Apakah matlamat ulasan ini?

Kajian Cochrane ini bertujuan untuk mengetahui jika intervensi ergonomik boleh mencegah sakit muskuloskeletal atau ketidakselesaan atau kedua-duanya masalah muskuloskeletal; MSD) dalam kalangan pekerja pejabat. Kami mengumpul dan menganalisis semua kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini dan mendapati 15 kajian.

Mesej utama

Kami mendapati intervensi ergonomik fizikal, seperti menggunakan sokongan lengan tetikus komputer berdasarkan postur neutral, mungkin atau mungkin tidak mencegah MSD berkaitan kerja dalam kalangan pekerja-pekerja pejabat. Kami juga masih tidak pasti keberkesanan intervensi ergonomik fizikal, organisasi dan kognitif lain.

Apakah yang telah dikaji dalam ulasan ini?

Kami memilih pekerja pejabat dalam ulasan kami, kerana mereka adalah populasi pekerja yang berisiko lebih tinggi untuk mengalami MSD anggota atas dan leher. Kami menilai kesan penggunaan prinsip-prinsip ergonomik untuk menambahbaik proses kerja dan tempat kerja. Ergonomik merujuk kepada interaksi antara pekerja dan elemen-elemen lain dalam persekitaran kerja yang merangkumi komponen fizikal, organisasi dan kognitif. Intervensi ergonomik fizikal termasuk memperbaiki peralatan dan persekitaran tempat kerja. Tujuan kaedah ini adalah untuk mengurangkan ketegangan fizikal, dengan demikian mengurangkan risiko kecederaan. Sementara itu, intervensi ergonomik organisasi membolehkan tempat kerja dan masa rehat yang optimum untuk sistem muskuloskeletal pulih daripada keletihan, dengan itu mengurangkan risiko kecederaan jangka panjang. Intervensi ergonomik kognitif memperbaiki proses mental seperti persepsi, ingatan, taakulan, dan respons motor melalui latihan dan pengubahsuaian proses kerja. Matlamat kaedah-kaedah ini bertujuan untuk mengurangkan beban kerja mental, meningkatkan kebolehpercayaan dan mengurangkan kesilapan yang mungkin mempunyai kesan tidak langsung mengurangkan ketegangan ke atas sistem muskuloskeletal.

Apakah keputusan-keputusan utama ulasan ini?

Kami mendapati 15 kajian melibatkan 2165 pekerja. Empat belas kajian dijalankan dan melaporkan hasil kerja mereka dengan teruk, dan kebanyakan kajian mempunyai bilangan kecil peserta.

Daripada 15 kajian tersebut, lima kajian menilai keberkesanan intervensi ergonomik fizikal. Empat kajian menilai keberkesanan intervensi organisasi ergonomik, dalam bentuk rehat atau mengurangkan waktu bekerja untuk mencegah MSD berkaitan kerja anggota atas atau leher, atau kedua-duanya dalam kalangan pekerja pejabat. Lima kajian menilai keberkesanan latihan ergonomik, dan satu kajian menilai intervensi ergonomik berbagai aspek. Kami tidak mendapati sebarang kajian yang menilai keberkesanan intervensi kognitif ergonomik.

Intervensi ergonomik fizikal

Kami mendapati penggunaan sokongan lengan atau tetikus terhadap postur neutral mungkin atau mungkin tidak mencegah MSD berkaitan kerja pada leher dan bahu. Penyelarasan stesen kerja, dan meja ‘duduk-bangun’ tidak mempunyai kesan ke atas kesakitan anggota atas berbanding tiada intervensi.

Intervensi ergonomik organisasi

Kami mendapati rehat tambahan mungkin mengurangkan ketidakselesaan leher dan anggota atas dalam kalangan pekerja kemasukan data (dua kajian).

Intervensi ergonomik kognitif

Kami tidak mendapati kajian yang menggunakan kaedah ini.

Intervensi latihan

Tiada kesan ke atas kesakitan anggota atas berbanding tiada intervensi di dalam lima kajian.

Intervensi ergonomik berbagai aspek

Tiada kesan ke atas kesakitan atau ketakselesaan berbanding tiada intervensi di dalam satu kajian.

Ini bermakna masih ada keperluan untuk menjalankan kajian lanjut bagi menilai keberkesanan intervensi ergonomik.

Adakah ulasan ini terkini?

Para penulis ulasan telah mencari kajian yang diterbitkan sehingga 10 Oktober 2018.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my

Tools
Information
Share/Save