Ubat antipsikotik atipikal untuk kecelaruan tingkah laku disruptif dalam kalangan kanak-kanak dan belia

Soalan ulasan

Untuk mengulas kesan dan keselamatan antipsikotik atipikal (penenang utama generasi lebih baru), berbanding plasebo (pil semu), untuk merawat kecelaruan tingkah laku disruptif (contohnya pertentangan, keingkaran, permusuhan) dalam kalangan kanak-kanak dan belia.

Latar belakang

Kanak-kanak dan belia dengan kecelaruan tingkah laku disruptif sering menunjukkan keagresifan dan masalah tingkah laku yang teruk. Ini boleh menyebabkan keluarga mencari perkhidmatan kesihatan, di mana antipsikotik atipikal boleh diguna untuk mengurangkan gejala-gejala. Terdapat peningkatan penggunaan antipsikotik atipikal dalam rawatan kecelaruan tingkah laku disruptif.

Ciri-ciri kajian

Kami mengulas bukti bagi antipsikotik atipikal, berbanding plasebo, untuk merawat kecelaruan tingkah laku disruptif dalam kalangan kanak-kanak dan belia. Bukti adalah terkini sehingga 19 Januari 2017. Kami mendapati 10 kajian. Daripada kajian-kajian ini, lapan menyiasat kesan risperidone, satu menyiasat quetiapine dan satu lagi menyiasat ziprasidone. Lima kajian adalah kajian perintis (kajian awal kecil untuk menilai kemungkinan, termasuk kos, mengendalikan kajian yang lebih besar). Lima kajian mempunyai 38 atau kurang peserta; satu kajian mempunyai 50 peserta, dua kajian masing-masing mempunyai lebih daripada 100 peserta, satu mempunyai 168 peserta dan satu lagi mempunyai lebih daripada 300 peserta. Sembilan kajian mempunyai tempoh masa empat, enam atau 10 minggu. Kajian kesepuluh adalah kajian pengekalan enam bulan. Sembilan daripada 10 kajian mendapat beberapa sokongan/pembiayaan farmaseutikal

Keputusan utama dan kualiti bukti

Analisis kami mencadangkan risperidone memberi kesan pengurangan keagresifan (bukti berkualiti rendah) dan masalah tingkah laku (bukti berkualiti sederhana), sedikit sebanyak, selepas enam minggu rawatan, dan risperidone dilihat agak selamat dalam jangka masa pendek. Walau bagaimanapun, ia dikaitkan dengan kenaikan berat badan yang ketara (bukti berkualiti rendah hingga sederhana). Terdapat kesan sampingan lain yang belum dikaji dengan teliti dan kesan jangka panjang adalah tidak begitu jelas. Doktor yang mempreskripsi ubat-ubatan dan keluarga perlu berhati-hati mempertimbangkan manfaat dan risiko ubat-ubatan. Tiada kajian yang melibatkan kanak-kanak di bawah umur lima tahun. Terdapat kekurangan kajian ubat-ubatan selain daripada risperidone.

Kami mengesyorkan bahawa lebih banyak kajian akan dijalankan untuk mengetahui kesan jangka masa panjang dan keselamatan ubat-ubatan ini. Lebih banyak penyelidikan juga diperlukan untuk ubat-ubatan lain selain risperidone. Sebaik-baiknya, ubat- ubatan harus digunakan bersama dengan atau mendahului rawatan psikososial yang berkesan, seperti latihan ibu bapa, selaras dengan garispanduan klinikal semasa. Adalah penting ubat-ubatan digunakan dalam dos yang cukup dan untuk tempoh yang cukup. Penggunaan ubat-ubatan secara berturutan atau dalam kombinasi perlu difikirkan dengan berhati-hati untuk mengoptimumkan kesan terapeutik sementara meminimumkan polifarmasi.

Penemuan-penemuan tersebut perlu dipertimbangkan dengan berhati-hati kerana bukti yang terbatas.Kajian-kajian tersebut mengguna ukuran hasil yang berbeza, yang mengehadkan keupayaan kami untuk menggabungkan penemuan-penemuan. Enam daripada 10 kajian mempunyai bilangan peserta yang kecil, di mana ia mempengaruhi kuasa kajian (keupayaan kajian untuk membezakan kesan saiz yang tertentu daripada peluang). Kualiti bukti bagi hasil utama ulasan ini - keagresifan, masalah tingkah laku dan pertambahan berat badan - berjulat dari kualiti rendah hingga sederhana menggunakan pertimbangan GRADE.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Yap Win Ner (Penang Medical College). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi yapwinner94@gmail.com

Tools
Information
Share/Save