Ubat-ubatan untuk kanak-kanak dengan refluks

Soalan ulasan

Apakah rawatan terbaik dan paling selamat untuk bayi dan kanak-kanak dengan refluks gastro-esofagus?

Mesej utama:

- bukti bagi penggunaan ubat-ubatan bagi bayi dengan refluks gastro-esofagus/penyakit refluks adalah sangat tidak pasti;

- bagi kanak-kanak yang menghidap penyakit refluks gastro-esofagus, bukti mengenai kesan perencat pam proton adalah sangat tidak pasti. Tiada bukti yang mencukupi untuk membuat kesimpulan mengenai ubat-ubatan lain.

Apakah refluks gastro-esofagus?

Refluks gastro-esofagus berlaku apabila kandungan perut kembali naik ke dalam esofagus (saluran makanan). Kebanyakan bayi (bawah 1 tahun) akan membesar dari gejala refluks, tetapi adakah ubat membantu? Kanak-kanak (lebih dari 1 tahun) boleh mengalami refluks sama seperti orang dewasa. Refluks boleh menjadi normal ('refluks fisiologi'), tetapi pada bayi dan kanak-kanak, ia boleh menyebabkan gejala, termasuk sakit atau penurunan berat badan, kerana esofagus menjadi radang (esofagitis). Gejala refluks yang mengganggu juga dikenali sebagai ‘penyakit refluks gastro-esofagus’ (GORD).

Bagaimanakah refluks gastro-esofagus dirawat?

Ubat boleh memekatkan kandungan perut (alginates), meneutralkan asid perut (ranitidine, omeprazole, lansoprazole), atau mempercepatkan pengosongan perut (domperidone, erythromycin).

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mempelajari cara terbaik untuk mengurangkan refluks pada bayi dan kanak-kanak. Kami ingin melihat sama ada ubat membantu bayi dan kanak-kanak berasa lebih baik (skor gejala), menyembuhkan esofagus (yang diperiksa menggunakan endoskopi, di mana kamera kecil dimasukkan melalui esofagus), atau mengurangkan masa esofagus terdedah kepada asid perut. Kami juga menyiasat sama ada ubat tersebut selamat dengan mempertimbangkan kesan berbahaya atau tidak diingini yang dilaporkan dalam kajian-kajian tersebut.

Apa yang kami buat?

Kami mencari kajian yang menguji ubat refluks gastro-esofagus pada bayi dan kanak-kanak. Kami sertakan semua kajian yang membandingkan ubat-ubatan ini, atau membandingkannya dengan ubat tidak aktif (plasebo). Kami menilai keputusan yang penting kepada doktor, jururawat, dan ibu bapa, dan menjalankan analisis sendiri terhadap keputusan tersebut. Kami menilai keyakinan kami terhadap bukti tersebut, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apa yang kami temui?

Kami menemui 36 kajian yang sesuai (melibatkan 2251 bayi dan kanak-kanak), dijalankan di seluruh dunia, dengan kebanyakannya di USA. Kajian terbesar melibatkan 268 bayi, manakala yang terkecil, melibatkan 16 kanak-kanak. Lima belas kajian membandingkan ubat aktif dengan plasebo; 8 kajian membandingkan satu ubat aktif dengan ubat aktif yang lain; dan 11 kajian memberikan ubat yang sama pada dos yang berbeza. Kami menemui maklumat hasil yang boleh digunakan dalam 14 daripada 36 kajian tersebut. Kajian yang selebihnya sama ada tidak melaporkan hasil yang kami minati atau tidak melaporkannya dengan cara yang kami boleh analisis. Kami tidak dapat menggabungkan keputusan sebarang kajian tersebut kerana ia terlalu berbeza (dari segi tempoh mereka menyusuli peserta dan hasil yang mereka kaji) untuk digunakan dengan cara yang bermakna.

Keputusan utama

Bayi. Tiada kesan yang jelas terhadap gejala atau keasidan yang diukur (salah satu ukuran ialah indeks refluks, iaitu peratusan masa dalam 24 jam esofagus terdedah kepada asid perut) antara bayi yang diberi omeprazole atau plasebo. Satu kajian (30 bayi) menunjukkan masa menangis/merengek berkurang dari 287 kepada 201 minit/hari dalam kumpulan plasebo dan 246 kepada 191 minit/hari dalam kumpulan omeprazole. Indeks refluks berubah dalam kumpulan omeprazole daripada 9.9% kepada 1.0% dalam 24 jam, dan dalam kumpulan plasebo daripada 7.2% kepada 5.3%. Satu kajian (76 bayi) menunjukkan bahawa omeprazole dan ranitidine mungkin mempunyai manfaat yang serupa bagi gejala selepas 2 minggu: skor gejala (skor yang lebih tinggi bermakna gejala yang lebih teruk) dalam kumpulan omeprazole menurun daripada 51.9 kepada 2.4, dan dalam kumpulan ranitidine, daripada 47 kepada 2.5. Dalam satu kajian yang melibatkan 52 bayi yang baru lahir, esomeprazole nampaknya tidak menunjukkan pengurangan bilangan gejala (184.7 kepada 156.7) berbanding dengan plasebo (183.1 kepada 158.3). Tiada kajian yang melaporkan kejadian berbahaya atau keputusan berkaitan perubahan kepada esofagus bayi.

Kanak-kanak. Pada kanak-kanak yang berusia lebih dari 1 tahun, tiada kajian yang menilai rawatan perubatan berbanding plasebo. Perencat pam proton (PPI), yang menghalang pengeluaran asid perut, pada dos yang berbeza mungkin memberikan sedikit atau tiada penambahbaikan dalam gejala atau penyembuhan esofagus. Dalam satu kajian (127 kanak-kanak), kanak-kanak dengan berat badan rendah dan berat badan tinggi yang diberikan rabeprazole pada dos rendah dan dos tinggi menunjukkan perubahan minimum – mungkin tidak penting – pada skor gejala dan skor endoskopik (yang menunjukkan sama ada penyembuhan esofagus telah berlaku). Pantoprazole mungkin atau mungkin tidak menambahbaik skor gejala pada kanak-kanak berumur 1 hingga 5 tahun menjelang minggu ke-8: tidak perbezaan antara dos yang rendah dan dos tinggi dalam satu kajian (60 kanak-kanak). Kajian yang menyelidik ubat lain tidak melaporkan maklumat yang mencukupi untuk kami menilai keputusannya dengan betul.

Kualiti bukti

Kami tidak yakin dengan bukti, yang kebanyakannya berdasarkan kajian tunggal dengan sedikit bayi dan kanak-kanak. Beberapa kajian telah mendapatkan bantuan dari syarikat farmaseutikal dalam penulisan manuskrip. Persoalan mengenai cara terbaik untuk merawat kanak-kanak kurang upaya, dan sama ada mana-mana PPI yang lebih baik daripada ubat lain masih belum terjawab. Bukti adalah terkini sehingga 17 September 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Jie Min (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information