Vaksin untuk mencegah cirit-birit rotavirus: vaksin yang digunakan

Apakah matlamat ulasan ini?

Tujuan Ulasan Cochrane ini adalah untuk menentukan sama ada vaksin-vaksin rotavirus adalah berkesan untuk mencegah cirit-birit dan kematian dalam kalangan bayi dan kanak-kanak. Kami juga bermatlamat untuk mengetahui sama ada vaksin-vaksin rotavirus adalah selamat. Kami telah mengumpul dan menganalisis semua kajian yang berkaitan untuk menjawab soalan-soalan ini, dan telah menjumpai 55 kajian.

Mesej-mesej utama

RV1, RV5, dan Rotavac mencegah episod cirit-birit rotavirus (bukti berkepastian sederhana hingga tinggi). Kami mendapati bahawa tiada peningkatan risiko peristiwa buruk yang serius (bukti berkepastian sederhana hingga tinggi) termasuk intususepsi (di mana usus tercantum pada dirinya sendiri, dan boleh menyebabkan sumbatan) (bukti berkepastian sangat rendah hingga rendah).

Apakah yang telah dikaji dalam ulasan ini?

Jangkitan rotavirus adalah penyebab cirit-birit yang lazim dalam kalangan bayi dan kanak-kanak, dan boleh menyebabkan penyakit yang ringan, kemasukan ke hospital dan kematian. Sejak tahun 2009, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mencadangkan supaya vaksin rotavirus dimasukkan ke dalam semua program imunisasi bayi dan kanak-kanak kebangsaan, dan 95 buah negara telah mengikuti cadangan ini. Pada tahun-tahun sebelum bayi dan kanak-kanak mula menerima vaksin rotavirus, jangkitan rotavirus telah menyebabkan kira-kira setengah juta kematian setahun pada kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah, terutamanya di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Dalam ulasan ini kami memasukkan percubaan-percubaan rawak terkawal pada bayi dan kanak-kanak yang menilai vaksin rotavirus monovalen (RV1; Rotarix, GlaxoSmithKline) atau vaksin rotavirus pentavalen (RV5; RotaTeq, Merck). Vaksin-vaksin ini telah dinilai dalam beberapa percubaan yang besar dan diluluskan untuk digunakan di banyak negara. Kami juga memasukkan percubaan-percubaan yang menilai satu vaksin rotavirus monovalen yang lain (Rotavac; Bharat Biotech), yang digunakan di India sahaja. Vaksin-vaksin rotavirus tersebut telah dibandingkan dengan plasebo atau tanpa vaksin. Kajian yang dimasukkan tidak membenarkan perbandingan antara vaksin.

Apakah keputusan-keputusan utama ulasan ini?

Kami menjumpai 55 kajian yang relevan yang melibatkan 216,480 peserta. Percubaan-percubaan ini dijalankan di beberapa lokasi di seluruh dunia. Kajian-kajian ini telah membandingkan vaksin rotavirus berbanding dengan plasebo atau berbanding dengan tiada penggunaan vaksin untuk bayi dan kanak-kanak. Vaksin yang diuji adalah RV1 (36 percubaan dengan 119,114 peserta), RV5 (15 percubaan dengan 88,934 peserta), dan Rotavac (empat percubaan dengan 8432 peserta). Lima puluh satu kajian dibiayai atau dibiayai bersama oleh pengeluar vaksin, manakala empat adalah bebas daripada pembiayaan pengeluar.

Dalam dua tahun pertama kehidupan, RV1:

●mencegah lebih daripada 80% kes cirit-birit rotavirus yang teruk di negara-negara yang mempunyai kadar kematian rendah (bukti berkepastian tinggi)
●mencegah 35% hingga 63% cirit-birit rotavirus yang teruk di negara-negara yang mempunyai kadar kematian yang tinggi (bukti berkepastian tinggi)
●mungkin mencegah 37% hingga 41% daripada kes cirit-birit yang teruk yang berpunca dari semua sebab (seperti mana-mana jangkitan virus, jangkitan bakteria atau jangkitan parasit) di negara-negara yang mempunyai kadar kematian yang rendah (bukti berkepastian sederhana)
●mungkin mencegah 18% hingga 27% daripada kes cirit-birit yang teruk yang berpunca dari semua sebab di negara-negara yang mempunyai kadar kematian yang tinggi (bukti berkepastian sederhana hingga tinggi).

Dalam dua tahun pertama kehidupan, RV5:

●mungkin mencegah 82% hingga 92% daripada kes cirit-birit rotavirus yang teruk di negara-negara yang mempunyai kadar kematian yang rendah (bukti berkepastian sederhana)
●mencegah 41% hingga 57% daripada kes cirit-birit rotavirus yang teruk di negara-negara yang mempunyai kadar kematian yang tinggi (bukti berkepastian tinggi)
●mungkin mencegah 15% daripada kes cirit-birit yang teruk yang berpunca dari semua sebab di negara-negara yang mempunyai kadar kematian yang tinggi (bukti berkepastian sederhana hingga tinggi); kami tidak mengenal pasti sebarang kajian yang melaporkan mengenai cirit-birit yang berpunca dari semua sebab di negara-negara yang mempunyai kadar kematian yang rendah.

Dalam dua tahun pertama kehidupan, Rotavac:

●mungkin mencegah lebih daripada 50% kes cirit-birit rotavirus yang teruk di India, iaitu sebuah negara yang mempunyai kadar kematian yang tinggi (bukti berkepastian sederhana)
●mungkin mencegah 18% daripada kes cirit-birit yang teruk yang berpunca dari semua sebab di India (bukti berkepastian sederhana). Rotavac belum dinilai dalam percubaan terkawal rawak di negara yang mempunyai kadar kematian yang rendah.

Kami mendapati sedikit atau tiada perbezaan dalam bilangan peristiwa buruk yang serius (bukti berkepastian sederhana hingga tinggi), atau kes intususepsi (bukti berkepastian rendah hingga sangat rendah), antara penerima RV1, RV5, atau Rotavac berbanding dengan plasebo atau tiada intervensi.

Sehingga bilakah ulasan ini dikemaskini?

Kami mencari kajian-kajian yang telah diterbitkan sehingga 4 April 2018.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Tan Shing Cheng (Universiti Kebangsaan Malaysia). Di sunting Sharifah Halimah Jaafar (Regency Specialist Hosp Sdn Bhd, JB). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi sctan@ukm.edu.my.

Tools
Information
Share/Save