Adakah vaksin rotavirus selamat dan berkesan dalam mencegah cirit-birit rotavirus dalam kalangan bayi dan kanak-kanak?

Apakah matlamat ulasan ini?

Matlamat Ulasan Cochrane ini adalah untuk menentukan jika vaksin-vaksin rotavirus berkesan mencegah cirit-birit dan kematian dalam kalangan bayi dan kanak-kanak. Kami juga bermatlamat untuk mengetahui jika vaksin-vaksin rotavirus adalah selamat. Kami mengumpul dan menganalisis semua kajian yang relevan untuk menjawab soalan-soalan ini.

Mesej utama

Rotarix, RotaTeq, Rotasiil dan Rotavac menghalang sebahagian besar episod cirit-birit rotavirus semasa tahun pertama kehidupan kanak-kanak, apabila cirit-birit adalah paling berbahaya, dengan keberkesanan yang lebih rendah pada tahun kedua. Kami mendapati tiada peningkatan risiko peristiwa buruk yang serius (bukti kepastian sederhana hingga tinggi) termasuk pengintususupan (di mana usus tercantum sendiri, dan boleh menyebabkan sumbatan).

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Jangkitan rotavirus adalah penyebab cirit-birit yang lazim dalam kalangan bayi dan kanak-kanak, dan boleh menyebabkan penyakit yang ringan, kemasukan ke hospital dan kematian. Sejak tahun 2009, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mencadangkan vaksin rotavirus dimasukkan dalam semua program imunisasi kebangsaan bayi dan kanak-kanak. Sehingga kini, 96 negara telah mengikuti saranan ini. Pada tahun-tahun sebelum bayi dan kanak-kanak mula menerima vaksin rotavirus, jangkitan rotavirus telah menyebabkan kira-kira setengah juta kematian setahun dalam kalangan kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah, terutamanya di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Dalam ulasan ini kami memasukkan kajian-kajian rawak terkawal dalam kalangan bayi dan kanak-kanak yang menilai vaksinasi rotavirus dengan Rotarix (GlaxoSmithKline) atau RotaTeq, Merck). Vaksin-vaksin ini telah dinilai dalam beberapa kajian besar dan diluluskan untuk digunakan di kebanyakan negara. Kami juga menyertakan kajian yang menilai Rotavac (Bharat Biotech Ltd.) dan Rotasiil (Serum Institute of India Ltd.), vaksin rotavirus yang kini digunakan di India sahaja. Vaksin-vaksin rotavirus tersebut dibanding dengan plasebo atau tanpa vaksin. Kajian-kajian yang dimasukkan tidak membolehkan perbandingan antara pelbagai vaksin rotavirus.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Kami mendapati 60 kajian yang relevan dengan sejumlah 228,233 peserta. Kajian-kajian ini dijalankan di beberapa lokasi di seluruh dunia. Vaksin yang diuji adalah Rotarix (36 kajian dengan 119,114 peserta), RotaTeq (15 kajian dengan 88,934 peserta), dan Rotavac (empat kajian dengan 11,753 peserta), dan Rotavac (empat kajian dengan 8432 peserta). Lima puluh enam kajian dibiayai atau dibiayai bersama oleh pengeluar vaksin, manakala empat adalah bebas daripada pembiayaan pengeluar.

Dalam dua tahun pertama kehidupan, kami dapati vaksin rotavirus mencegah lebih 90% kes cirit-birit rotavirus yang teruk di negara dengan kadar mortaliti kanak-kanak yang rendah, lebih 75% di negara dengan kadar mortaliti kanak-kanak sederhana, dan 35% hingga 58% di negara dengan kadar mortaliti kanak-kanak yang tinggi.

Vaksin rotavirus mungkin menghalang lebih 50% kes cirit-birit yang teruk dari semua sebab (seperti mana-mana jangkitan virus, jangkitan bakteria atau jangkitan parasit) di negara dengan kadar mortaliti kanak-kanak yang rendah, 26% hingga 36% di negara dengan kadar mortaliti kanak-kanak sederhana, dan tiada hingga 27% di negara dengan kadar mortaliti kanak-kanak yang tinggi.

Bukti bagi negara dengan kadar mortaliti kanak-kanak rendah dan sederhana datang daripada kajian vaksin Rotarix dan RotaTeq; kedua-dua vaksin ini telah dinilai dalam semua persekitaran. Vaksin Rotasiil dan Rotavac hanya dinilai di negara dengan kadar mortaliti kanak-kanak yang tinggi.

Kami mendapati sedikit atau tiada perbezaan dalam bilangan kejadian buruk serius dalam kalangan mereka yang menerima vaksin rotavirus berbanding plasebo atau tanpa vaksin.

Vaksin rotavirus mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan kepada bilangan kematian atau kes pengintususupan berbanding plasebo atau tiada vaksin, tetapi kepastian bukti adalah terhad untuk hasil yang jarang berlaku ini.

Adalah ulasan ini mutakhir?

Kami mencari kajian yang diterbitkan sehingga 30 November 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Tan Shing Cheng (Universiti Kebangsaan Malaysia). Dikemaskini oleh Nila Pillai (Cochrane Malaysia). Di sunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information