Penghalang alpha (alpha-blockers) untuk batu ureter dalam kalangan pesakit dewasa yang mengalami simptom penyakit batu

Soalan ulasan

Adakah rawatan perubatan dengan penghalang alpha dapat memperbaiki keputusan rawatan pesakit yang mempunyai batu-batu yang terperangkap dalam ureter mereka?

Latar belakang

Batu yang terperangkap dalam ureter, iaitu tiub yang mengangkut air kencing dari buah pinggang ke pundi kencing, selalunya menyebabkan kesakitan dan membuatkan seseorang itu pergi berjumpa doktor. Bergantung kepada bahagian mana ureter yang batu tersebut terperangkap dan saiznya, ia akan biasanya sampai ke pundi kencing dengan sendiri dalam tempoh masa beberapa minggu. Jika batu itu tidak dapat keluar dengan sendirinya, orang sering memerlukan prosedur-prosedur untuk mengeluarkan batu tersebut.

Penghalang alpha adalah ubat-ubatan yang mengendurkan otot dalam saluran kencing dan boleh membuatkan batu tersebut disampaikan ke dalam pundi kencing dengan lebih cepat. Walau bagaimanapun, ubatan ini boleh menyebabkan kesan-kesan sampingan. Kami mengemaskini ulasan Cochrane yang sedia ada dari tahun 2014 untuk menilai kesan-kesan pneghalang alpha.

Ciri-ciri kajian

Berdasarkan pencarian kami yang terkini dari November 2017, kami memasukkan 64 kajian yang melibatkan 10,509 orang peserta. Di antara kajian-kajian ini, 15 kajian membandingkan penghalang alpha dengan plasebo dalam 5787 orang peserta. Plasebo adalah pil yang kelihatan dan berasa sama seperti ubat-ubatan yang sebenar, supaya peserta tidak tahu apa yang mereka telah mendapat. Kajian-kajian tersebut berkualiti tinggi, dimana kami lebih percayainya.

Keputusan utama

Berdasarkan subset kajian-kajian berkualiti tinggi yang menggunakan plasebo, penghalang alpha lebih cenderung dalam membantu pesakit mengeluarkan batu mereka. Walau bagaimanapun, pesakit mungkin akan mengalami kesan sampingan yang lebih serius sedikit daripada ubat ini.

Orang yang mengambil penghalang alpha dapat mengeluarkan batu mereka dalam masa yang lebih singkat, mengurangkan pengambilan diclofenac (sejenis ubat tahan sakit) dan adalah lebih jarang dimasukkan ke hospital. Sementara itu, keperluan untuk pembedahan bagi batu-batu mereka adalah sama.

Setelah melengkapkan analisis tambahan, kami mendapati bahawa kesan penghalang alpha mungkin berbeza dalam orang yang mempunyai batu yang kecil (5 mm atau lebih kecil) berbanding orang yang batunya lebih besar (lebih besar daripada 5 mm). Adalah ternyata bahawa ubat ini lebih berkesan dalam orang yang mempunyai batu yang lebih besar. Kami tidak mendapati perbezaan dalam keberkesanan penghalang alpha, tidak kira lokasi pada ureter batu itu tersekat atau jenis penghalang alpha yang digunakan.

Kesimpulan pengarang

Untuk pesakit yang mempunyai batu-batu yang terperangkap dalam ureter, penghalang alpha mungkin membantu pengeluaran batu dengan lebih mudah tetapi ia boleh menyebabkan sedikit lebih kesan yang tidak diingini. Ternyata bahawa penghalang alpha lebih berkesan dalam orang yang mempunyai batu yang lebih besar (lebih besar daripada 5 mm) daripada batu yang lebih kecil (5 mm atau lebih kecil).

Kualiti bukti

Kualiti bukti bagi kebanyakan hasil adalah sederhana atau rendah, bermakna bahawa kami mempunyai keyakinan yang sederhana atau rendah dalam kebanyakan keputusan yang dilaporkan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Zcho Huey Lee, RCSI & UCD Malaysia Campus (formerly Penang Medical College). Disunting oleh Tan May Loong, RCSI & UCD Malaysia Campus (formerly Penang Medical College). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi zchohuey_c2017@ms.pmc.edu.my

Tools
Information