Rawatan antiseptik (klorheksidin) untuk mencegah kerosakan gigi di kalangan kanak-kanak dan remaja.

Soalan ulasan

Ulasan ini menilai keberkesanan varnis dan gel yang mengandungi klorheksidin dalam pencegahan kerosakan gigi di kalangan kanak-kanak dan remaja.

Latarbelakang

Kerosakan gigi adalah penyakit lazim yang memusnahkan permukaan gigi.Ia melibatkan hampir 80% penduduk negara berpendapatan tinggi walaupun ia boleh dicegah dengan kebersihan mulut dan kawalan pemakanan serta penggunaan agen seperti fluorida yang mengurangkan risiko kerosakan. Ia mungkin kekal sebagai masalah terutama di negara-negara berpendapatan rendah.Kerosakan gigi boleh menyebabkan sakit dan jangkitan, dan di kalangan kanak-kanak memerlukan rawatan di hospital dengan menggunakan bius umum.Selain rasa takut dan mengalami kesakitan, kanak-kanak atau remaja mungkin tidak dapat hadir ke sekolah dan para ibubapa atau penjaga perlu mengambil cuti dari bekerja atau juga mungkin hilang pendapatan dan melibatkan penambahan kos. Pencegahan kerosakan gigi lebih mudah dan murah dari menunggu hingga ia terjadi dan memerlukan rawatan ekstensif.

Kerosakan gigi boleh dicegah dan pelbagai cara boleh membantu: memberus gigi dua kali sehari dengan ubat gigi berfluorida, kurangkan kuantiti dan kekerapan pengambilan gula dan air minum yang berfluorida (botol atau paip, bergantung kepada tempat tinggal).

Kerosakan gigi terjadi apabila beberapa jenis bakteria (kuman) tertentu dalam mulut misalnya Streptokokus mutans,menghasilkan asid dari gula yang dimakan dan menghancurkan lapisan enamel yang meliputi gigi kita. Rawatan kimia antiseptik klorheksidin telah berjaya memusnahkan bakteria tersebut dan boleh diguna dengan selamat di rumah dalam bentuk gel, semburan, gula-gula getah, ubat gigi dan ubat kumur mulut. Sebagai alternatif, klorheksidin boleh disapu pada permukaan sebqagai varnis oleh doktor pergigian.

Ciri kajian

Bulkti ulasan yang dibuat oleh Kumulan Kesihatan Oral Cochrane ini adalah terkini sehingga 25 Februari 2015.Kami mendapati lapan kajian yang sesuai untuk dimasukkan dalam ulasan ini.Kajian-kajian tersebut melibatkan 2876 kanak-kanak sejak lahir hingga umur 15 tahun yang berisiko sederhana atau tinggi untuk kerosakan gigi.Enam daripada kajian tersebut melihat kesan sapuan oleh doktor pergigian pelbagai kepekatan varnis klorheksidin kepada gigi susu, kekal dan kedua-dua kegigian dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.Dua kajian lagi melihat kesan sapuan gel fluorida oleh ibubapa kepada gigi-gigi susu anak mereka.Tiada kajian yang melihat produk yang mengandungi klorheksidin misalnya semburan, ubat gigi, gula-gula getah atau ubat kumur mulut,

Keputusan utama

Keputusan ulasan tidak membuktikan varnis atau gel klorheksidin mengurangkan kerosakan gigi ataupun bakteria yang menggalakkan kerosakan gigi.Kajian-kajian tersebut tidak menilai hasil lain misalnya kesakitan, kulaiti kehidupan, kepuasan pesakit atau kos intervensi secara langsung atau tidak langsung. Empat kajian mengukur kesan sampingan namun tiada kajian yang mendapati kesan sampingan.

Kualiti bukti

Oleh kerana kurangnya kajian yang sesuai dan keraguan tentang kemungkinan bias pada kajian yang dimasukkan, bukti adalah berkualiti rendah. Oleh itu kami tidak dapat merumuskan sama ada klorheksidin berkesan untuk mencegah kerosakan gigi dalam kalangan kanak-kanak dan remaja apabila dibandingkan dengan plasebo (bahan gantian klorheksidin yang tidak aktif) atau tiada rawatam.Kajian lanjutan tentang penggunaan klorheksidin untuk mencegah kerosakan gigi diperlukan dan patut mempertimbangkan kedua-dua gigi susu dan gigi kekal dan menilai produk-produk lain yang mengandungi klorheksidin yang boleh diguna di rumah seperti ubat gigi dan ubat kumur mulut.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Melaka-Manipal Medical College) Disunting oleh Sharifah Halimah Jaafar (Regency Specialist Hospital Sdn Bhd, JB) Untuk pertanyaan tentang terjemahan ini,sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my.

Tools
Information
Share/Save