Penggunaan vitamin A dan minyak ikan untuk retinitis pigmentosa

Soalan ulasan

Kami telah menyiasat betapa baiknya vitamin A dan minyak ikan berfungsi untuk menangguhkan perkembangan kehilangan penglihatan pada pesakit retinitis pigmentosa (RP), dan sama ada rawatan ini selamat.

Latar belakang

Retinitis pigmentose (RP) adalah nama yang diberikan kepada sekumpulan penyakit mata yang boleh diwarisi, yang menyebabkan kehilangan penglihatan secara beransur-ansur tetapi progresif. Pesakit RP mempunyai kesukaran melihat dalam keadaan bercahaya rendah, mempunyai masalah dengan penglihatan periferal (yang berpotensi menyebabkan 'penglihatan terowong'), dan, dalam kebanyakan kes, akan mengalami kerosakan penglihatan secara beransur-ansur. RP boleh didiagnos melalui ujian medan penglihatan yang mengesan masalah pada penglihatan periferal, dan melalui elektroretinografi yang menentukan perkembangan RP dengan mengukur tindakbalas mata terhadap kelipan cahaya dengan elektrod pada mata.

Ciri-ciri kajian

Kami telah mengenal pasti tiga kajian klinikal yang dijalankan di Amerika Syarikat dan Kanada. Kajian-kajian ini merangkumi 866 pesakit RP yang berumur antara empat dan 55 tahun, yang secara puratanya telah disusul selama empat tahun selepas pemberian rawatan. Satu kajian telah membandingkan ekstrak minyak ikan (asid dokosaheksaenoik (DHA, 400 mg sehari)), kepada plasebo (ubat berpura-pura); Kajian kedua telah membandingkan vitamin A (15000 IU sehari) kepada vitamin E (400 IU sehari) dan kepada tahap vitamin yang rendah (vitamin A surih + vitamin E surih); dan kajian ketiga telah membandingkan DHA (1200 mg setiap hari) + vitamin A (15000 IU sehari) kepada vitamin A sahaja (15000 IU sehari). Bukti adalah terkini hingga Ogos 2013.

Keputusan-keputusan utama

Semua kajian telah mengukur hasil berikut: penambahan teruk dalam medan pengihatan, penambahan teruk dalam ketajaman penglihatan, dan penambahan teruk dalam keputusan elektroretinografi. Secara amnya, perbandingan antara pesakit yang menerima vitamin A sama ada dengan atau tanpa minyak ikan (DHA) dengan peserta yang menerima plasebo tidak menunjukkan apa-apa perbezaan untuk hasil-hasil ini, yang bermaksud bahawa penggunaan vitamin A atau minyak ikan pada dos yang tinggi tidak memperlahankan kehilangan visual secara beransur-ansur dengan ketara dalam kalangan pesakit RP. Tidak ada kajian yang telah melaporkan sebarang kejadian mudarat sistemik dari vitamin A atau minyak ikan. Walau bagaimanapun, kesan buruk jangka panjang pengambilan vitamin A dan minyak ikan pada dos yang tinggi tidak diketahui.

Kualiti bukti

Kajian-kajian tersebut telah direka dengan baik dan dikendalikan dengan baik, maka kami menentukan bahawa semua kajian yang dimasukkan mempunyai kualiti yang tinggi.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Tan Shing Cheng (Universiti Kebangsaan Malaysia). Disunting oleh Intan Juliana Abd Hamid (Institut Perubatan & Pergigian Termaju, USM). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save