Asid 5-aminosalicylic oral untuk pengekalan keadaan remisi penyakit crohn yang diperolehi melalui pembedahan

Apakah matlamat ulasan ini?

Matlamat ulasan ini adalah untuk memahami keberkesanan dan keselamatan ubat 5-ASA dalam pengekalan keadaan remisi selepas pembedahan dalam kalangan orang dengan penyakit Crohn. Ulasan ini merupakan kemaskini ulasan Cochrane yang telah diterbitkan dahulu.

Apakah itu penyakit Crohn?

Penyakit Crohn ialah sejenis penyakit usus yang kronik. Penyakit Crohn berubah daripada tempoh di mana pesakit mengalami gejala-gejala (relapse) ke tempoh di mana gejala-gejala tersebut hilang (remisi). Gejala-gejala termasuklah sakit perut, cirit-birit dan kehilangan berat badan. Orang dengan penyakit Crohn boleh menjalani pembedahan untuk membuang bahagian usus mereka yang berpenyakit. Namun, gejala-gejala mereka boleh juga kembali semula dalam tempoh yang singkat. Pelbagai jenis ubat boleh diberikan untuk mengekalkan keadaan remisi, namun, terdapat kerisauan mengenai kesan-kesan sampingan yang mungkin. Ubat 5-ASA mengurangkan keradangan (kesakitan dan bengkak) dalam usus. Kami telah menyelidik sama ada 5-ASA boleh mengekalkan keadaan remisi dalam orang yang menghidapi penyakit Crohn selepas bahagian usus mereka yang berpenyakit dibuang.

Adakah ulasan ini terkini?

Para penulis ulasan telah mencari kajian-kajian yang telah diterbitkan sehingga 16 Julai 2018.

Apakah hasil-hasil utama ulasan ini?

Kami telah menjumpai sejumlah 14 kajian (1867 orang peserta). Satu kajian telah dinilai sebagai berkualiti tinggi, enam kajian berkualiti rendah dan tujuh kajian telah dinilai sebagai tidak jelas kerana para penulis melaporkan maklumat yang tidak mencukupi untuk dibuat penilaian. Mereka yang mengambil 5-ASA mempunyai kurang relapse berbanding dengan mereka yang tidak menjalani rawatan pengekalan. Pada bulan ke-12, sejumlah 36% (20/55) daripada peserta dalam kumpulan 5-ASA yang mengalami relapse berbanding dengan 51% (28/55) daripada kumpulan kawalan yang tidak menjalani rawatan (1 kajian, kepastian bukti yang rendah). Bukti yang berkualiti sederhana daripada lima kajian telah menunjukkan bahawa ubat 5-ASA adalah lebih unggul daripada plasebo (contohnya pil gula) dalam pengekalan keadaan remisi penyakit Crohn selepas pembedahan. Dalam tempoh susulan 12 hingga 72 bulan, 36% (131/361) daripada peserta kumpulan 5-ASA telah mengalami relapse, berbanding dengan 43% (160/369) daripada peserta plasebo. Analisis untuk empat kajian yang telah membandingkan ubat-ubatan 5-ASA dengan antimetabolit purin (contohnya azathioprine atau 6-mercaptopurine, kedua-duanya merupakan ubat imunosupresan) tidak mendapati sebarang perbezaan dalam bilangan peserta yang kekal dalam keadaaan remisi, walaupun secara keseluruhannya kualiti bukti adalah rendah. Pada bulan ke-24, 61% (103/170) daripada peserta kumpulan 5-ASA telah mengalami relapse berbanding dengan 67% (119/177) daripada peserta antimetabolit purin. Mereka yang telah mengambil 5-ASA dengan dos yang tinggi telah mengalami kurang relapse berbanding dengan mereka yang mengambil 5-ASA dengan dos yang rendah. Pada bulan ke-12, 17% (17/101) daripada peserta kumpulan 5-ASA 4g/hari telah mengalami relapse berbanding dengan 26% (27/105) daripada peserta kumpulan 2.4g/hari (1 kajian, kepastian bukti yang sederhana). Analisis mengenai satu kajian kecil yang membandingkan 5-ASA dengan adalimumab (ubat biologik) telah menunjukkan bahawa 5-ASA adalah tidak seunggul adalimumab dalam pengekalan keadaan remisi penyakit Crohn yang diperolehi melalui pembedahan. Pada bulan ke-24, 50% (9/18) daripada peserta kumpulan 5-ASA telah mengalami relapse berbanding dengan 13% (2/16) daripada kumpulan adalimumab (kepastian bukti yang sangat rendah). Analisis bagi dua kajian yang membandingkan sulphasalazine dengan plasebo telah tidak menjumpai perbezaan dalam kadar relapse. Selepas 18 hingga 36 bulan, 66% (95/143) daripada peserta kumpulan sulphasalazine telah mengalami relapse berbanding dengan 71% (110/155) daripada peserta kumpulan plasebo (kepastian bukti yang rendah). Apabila 5-ASA dibandingkan dengan plasebo, tiada perbezaan yang didapati dalam kadar kesan-kesan sampingan, kesan sampingan yang serius dan penarikan diri disebabkan oleh kesan-kesan sampingan. 5-ASA adalah lebih selamat berbanding dengan analog purin yang mengakibatkan kurang kesan-kesan sampingan yang serius dan pemberhentian rawatan yang disebabkan oleh kesan-kesan sampingan. Kesan-kesan sampingan yang sering dilaporkan termasuklah cirit-birit, loya, peningkatan ujian fungsi hati, radang pankreas dan sakit perut.

Kesimpulan

Ubat-ubatan 5-ASA adalah lebih unggul berbanding dengan plasebo dalam pengekalan keadaan remisi penyakit Crohn yang diperolehi melalui pembedahan (kepastian bukti yang sederhana). Sulphasalazine telah gagal untuk menunjukkan keunggulannya berbanding plasebo (kepastian bukti yang sangat rendah), dan 5-ASA juga gagal untuk menunjukkan keunggulannya berbanding dengan tanpa rawatan (kepastian bukti yang rendah). Keberkesanan dua dos berbeza untuk 5-ASA yang sama dan keberkesanan 5-ASA berbanding antimetabolit purin (azathioprine atau 6-mercaptopurine) untuk pengekalan keadaan remisi penyakit Crohn yang diperolehi melalui pembedahan masih kekal tidak jelas. Namun, analog purin membawa kepada kesan-kesan sampingan yang lebih serius dan pemberhentian disebabkan oleh kesan-kesan sampingan berbanding dengan 5-ASA. Terdapat kepastian yang rendah tentang 5-ASA yang tidak unggul berbanding adalimumab dalam pengekalan keadaan remisi penyakit Crohn yang diperolehi melalui pembedahan. Tidak ada bukti mengenai perbezaan dalam kejadian kesan-kesan sampingan atau penarikan diri disebabkan kesan-kesan sampingan dalam formulasi 5-ASA berbanding dengan plasebo, tanpa rawatan atau ubat biologik.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nicole Fong Wan June (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information