Intervensi pembedahan untuk penanggalan rhegmatogenus retina: alternatif kepada vitrektomi

Soalan ulasan

Kami mengemas kini ulasan ini dengan tujuan yang sama untuk memahami yang mana antara dua jenis teknik pembedahan, lengkokan sklera (SB) atau pneumatik retinopeksi (PR), adalah lebih sesuai untuk rawatan jenis penanggalan rhegmatogenus retina (RRD) yang tertentu.

Latar belakang

Penanggalan retina merupakan pemisahan retina, tisu di bahagian belakang mata yang sensitif terhadap cahaya, daripada lapisan asasnya yang melekat pada permukaan bahagian belakang mata. RRD berlaku apabila pemisahan terhasil daripada retina pecah atau koyak, biasanya disebabkan penarikan (daya tarikan) daripada vitreous, bahan yang memenuhi bahagian tengah mata.

Tiga intervensi pembedahan digunakan untuk memperbaiki kerosakan retina dalam RRD: PR, SB dan vitrektomi. Dalam PR, gelembung gas disuntik ke dalam rongga vitreous di bahagian tengah mata supaya menghasilkan pengedap mekanikal (tamponade) untuk kerosakan retina sehingga kerosakan itu boleh dipulihkan dengan haba (laser) atau kesejukan (krioterapi). Dalam SB, tekanan tempatan dikenakan pada kerosakan retina dengan menjahitkan bahan pada bahagian luar mata (sklera) untuk mengesot (melengkok) ke dalam. Dalam vitrektomi, vitreous dikeluarkan untuk melegakan daya tarikan retina daripada vitreous dan gas atau minyak silikon, boleh digunakan untuk mempercepatkan penyembuhan.

Ciri-ciri kajian

Kami telah menjumpai tiga kajian rawak (di mana peserta diagihkan secara rawak kepada satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) yang melibatkan 274 peserta (276 mata) dari Ireland, Amerika Syarikat dan Itali. Semua kajian menilai sama ada PR atau SB ialah rawatan yang lebih baik untuk RRD. Kajian di Amerika Syarikat (1989) melibatkan 196 peserta dengan susulan dari enam bulan sehingga dua tahun. Kajian di Ireland (1996) melibatkan 20 peserta dengan susulan dari lima sehingga 27 bulan. Kajian di Itali (2021) melibatkan 58 peserta dengan susulan 12 bulan. Bukti adalah terkini sehingga 10 March 2021.

Sumber pembiayaan kajian

Kajian dibiayai oleh institusi pengarang atau sumber yang tidak diketahui.

Keputusan utama

Keputusan daripada tiga kajian mencadangkan bahawa SB mungkin mempunyai prestasi yang lebih baik atau setanding dengan PR dari segi kad perlekatan semula dan untuk mengurangkan risiko pengulangan penanggalan. Beberapa kesan buruk okular (kesan sampingan berkaitan mata) telah berlaku semasa kedua-dua prosedur, dan perbezaan dalam beberapa kesan buruk yang berlaku selepas pembedahan adalah sangat tidak pasti. Lebih banyak mata dalam kumpulan SB mengalami katarak dan anjakan pembiasan ke arah miopia (perubahan kepada rabun dekat mungkin ialah tanda mengalami katarak) berbanding mata dalam kumpulan PR.

Kualiti bukti

Kualiti bukti kebanyakannya rendah disebabkan pelaporan yang lemah tentang cara kajian dilakukan. Setiap kajian melaporkan ketajaman visual (kejelasan atau ketajaman penglihatan) dengan berbeza. Tiada kajian yang menganalisis hasil penting seperti kualiti hidup atau kos berkaitan dengan rawatan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Tan Yin Xin (Alphanumeric). Disunting oleh Chan MW (RCSI & UCD Malaysia Campus). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information