Apakah kaedah terbaik untuk memastikan orang yang menghidap epilepsi mengambil ubat seperti yang ditetapkan?

Mengapakah soalan ini penting?
Epilepsi adalah keadaan lazim yang mempengaruhi otak. Orang yang menghidap epilepsi mengalami sawan - atau kekejangan - yang boleh mempengaruhi kehidupan seharian mereka. Mereka sering diberi ubat untuk mengawal atau mencegah kejang. Orang dengan epilepsi sukar untuk mengambil ubat mereka seperti yang ditetapkan, dan ini dianggap sebagai penyebab kawalan sawan kurang berkesan. Tinjauan kajian ini melaporkan kaedah bagi meningkatkan pengambilan ubat antiepilepsi.

Apakah yang telah kami lakukan
Kami mencari pangkalan data perubatan untuk kajian klinikal yang melihat cara meningkatkan kepatuhan terhadap ubat bagi orang yang mengalami epilepsi. Kami menghadkan pencarian kami kepada kajian rawak terkawal (RCT) yang melibatkan orang dengan diagnosis klinikal epilepsi tidak kira usia dan yang dirawat dengan ubat-ubatan antiepileptik ketika rawatan utama (contohnya, surgeri doktor), pesakit luar atau di fasiliti lain. RCT ialah kajian perubatan di mana orang dipilih secara rawak untuk menerima rawatan (kumpulan intervensi), atau untuk menerima rawatan yang berbeza atau tiada rawatan (kumpulan kawalan). Kajian jenis ini memberi bukti kesihatan yang paling boleh dipercayai mengenai sama ada pelbagai pendekatan rawatan atau penjagaan menghasilkan perbezaan.

Keputusan ini adalah terbaru setakat Februari 2020.

Apa yang kami temui
Kami mengenal pasti 20 kajian melibatkan 2832 peserta. Kajian dilakukan di negara berbeza dengan majoriti dari Amerika Syarikat. Kajian ini mengkaji tiga jenis intervensi utama:

1. pendidikan dan kaunseling peserta mengenai topik seperti epilepsi dan ubat yang digunakan untuk mengawal epilepsi (4 kajian);

2. intervensi tingkah laku, seperti meminta orang dengan epilepsi untuk mengaitkan niat mengambil ubat dengan masa, tempat dan aktiviti rutin lain (13 kajian); dan

3. intervensi yang bercampur, iaitu penggunaan lebih daripada satu intervensi (4 kajian).

Satu kajian dikira dua kali kerana ianya membandingkan intervensi tingkah laku dengan intervensi bercampur.

Kajian mengukur kepatuhan terhadap ubat dengan pelbagai cara, misalnya, dengan soal selidik, sampel darah atau penutup botol elektronik. Kajian juga mengukur penurunan frekuensi atau keparahan sawan untuk melihat perbezaan pengambilan ubat seperti yang ditetapkan. Kajian-kajian ini amat berbeza antara satu sama lain, oleh itu kami tidak dapat mengumpulkan hasil mereka.

Keputusan utama dan kualiti bukti
Intervensi pendidikan dan kaunseling dapat meningkatkan kepatuhan terhadap ubat. Dua kajian menunjukkan peningkatan, satu kajian menunjukkan peningkatan kecil dan satu tidak menunjukkan peningkatan.

Intervensi tingkah laku dan intervensi campuran mungkin meningkatkan kepatuhan terhadap ubat. Orang dalam kumpulan intervensi menunjukkan kepatuhan yang lebih baik berbanding kumpulan kawalan.

Empat kajian menunjukkan bahawa ketika kepatuhan meningkat pada kelompok intervensi, frekuensi sawan atau keparahan sawan menurun.

Kami tidak dapat membuat kesimpulan yang tegas mengenai hasil tersebut kerana kajian sangat berbeza antara satu sama lain dan tidak selalu menggunakan kaedah terbaik. Ini bermakna kami tidak pasti dengan bukti mereka.

Apakah yang harus berlaku seterusnya?
Kami memerlukan kajian rawak terkawal yang dirancang dengan teliti dan melibatkan lebih banyak peserta dalam tempoh susulan yang lebih lama untuk mengenal pasti intervensi terbaik bagi meningkatkan kepatuhan terhadap ubat antiepileptik.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information