Menggunakan tambahan kulit kayu pain untuk membantu merawat pelbagai penyakit kronik

Soalan ulasan

Bolehkah tambahan antioksidan kulit kayu pain membantu merawat penyakit kronik?

Latar belakang

Bahan utama dalam tambahan ekstrak kulit kayu pain adalah proanthocyanidins, yang merupakan antioksidan. Bahan tambahan ini dipasarkan untuk mencegah atau merawat pelbagai jenis penyakit kronik. Ini adalah kemas kini ulasan terbitan terdahulu, di mana kami menilai sejauh mana penambahan ini berfungsi untuk merawat penyakit kronik, dan juga keselamatannya.

Tarikh carian

Bukti ini adalah terkini sehingga 30 September 2019.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan 27 kajian (1641 peserta) dalam 10 penyakit kronik. Ini termasuk: asma (dua kajian; 86 peserta), gangguan hiperaktiviti defisit perhatian (ADHD) (satu kajian; 61 peserta), penyakit jantung dan faktor risiko (tujuh kajian; 332 peserta), insufisiensi vena kronik (vena kaki tidak berfungsi dengan berkesan; dua kajian; 60 peserta), diabetes (enam kajian; 336 peserta), mati pucuk (tiga kajian; 227 peserta), disfungsi seksual wanita (satu kajian; 75 peserta), osteoartritis (kerosakan rawan di sendi; tiga kajian; 293 peserta) , osteopenia (permulaan kehilangan jisim tulang; satu kajian; 44 peserta) dan kecederaan otak traumatik (satu kajian; 56 peserta). Dua daripada kajian-kajian tersebut dijalankan eksklusif dalam kalangan kanak-kanak; yang lain adalah dalam kalangan dewasa. Kajian-kajian membandingkan penambahan kulit kayu pain dengan plasebo (iaitu tambahan palsu) atau intervensi bukan antioksidan dan para peserta dipilih secara rawak untuk satu rawatan atau yang lain. Tempoh rawatan adalah sekitar empat minggu hingga enam bulan.

Keputusan utama

Untuk kebanyakan hasil pelbagai penyakit kronik, kami hanya menyertakan satu kajian dengan sebilangan kecil peserta. Dalam kalangan dewasa dengan asma, kami tidak tahu sama ada ekstrak kulit kayu pain meningkatkan fungsi paru-paru, memperbaiki gejala asma atau meningkatkan bilangan orang yang boleh berhenti mengguna inhaler albuterol (sejenis pam asma).
Dalam kalangan kanak-kanak dengan ADHD, kami tidak tahu sama ada tambahan kulit kayu pain mengurangkan ketaktumpuan dan hiperaktif (dinilai oleh ibu bapa dan guru) atau sama ada ia meningkatan koordinasi dan penumpuan.
Dalam kalangan orang dengan penyakit jantung, kami tidak tahu jika tambahan kulit kayu pain menurunkan tekanan darah dan kolesterol LDL (jenis jahat) atau sama ada ia meningkatkan kolesterol HDL (jenis baik).
Dalam kalangan dewasa dengan insufisiensi vena kronik, kami tidak tahu sama ada tambahan kulit kayu pain mengurangkan sakit, meningkatkan bilangan orang bebas sakit, atau pendapat doktor tentang keberkesanan rawatan. Dalam kalangan orang dengan diabetes jenis 2, kami tidak tahu sama ada tambahan kulit kayu pain memperbaik paras gula darah atau HbA1c (penanda jangka panjang untuk mengukur kawalan gula darah); kami juga tidak tahu jika penambahan kulit kayu pain menurunkan HbA1c dalam kalangan orang dengan diabetes jenis 1 atau jenis 2.
Dalam kalangan lelaki mati pucuk, kami tidak tahu jika tambahan kulit kayu pain meningkatkan fungsi erektil. Begitu juga, dalam kalangan wanita dengan disfungsi seksual, kami tidak tahu jika penambahan kulit kayu pain meningkatkan kepuasan seksual atau mengurangkan sakit.
Dalam kalangan dewasa dengan osteoartritis, tidak jelas jika penambahan kulit kayu pain memperbaiki sakit, bengkak atau kekejangan lutut, atau sama ada ia mengurangkan penggunaan ubat-ubatan anti-radang. Kami juga tidak tahu jika penambahan kulit kayu pain meningkatkan pembentukan tulang dalam kalangan wanita selepas menopaus dengan tulang yang lemah. Akhir sekali, dalam kalangan orang dengan kecederaan otak traumatik, adalah tidak jelas jika penambahan kulit kayu pain memperbaik memori dan gejala selepas konkusi.

Untuk kebanyakan perbandingan, kajian tidak melaporkan hasil kemasukan ke hospital atau kejadian buruk yang serius.

Dengan kajian sedia ada, kami tidak dapat menyatakan dengan jelas berapa baik (atau tidak) penambahan kulit kayu pain berfungsi dan sama ada ia selamat.

Kualiti bukti

Risiko bias keseluruhan adalah rendah untuk empat kajian, tinggi untuk satu dan tidak jelas untuk 22 kajian. Ini bermaksud sejauh mana kaedah-kaedah yang diguna dalam kajian membolehkan penentuan sebenar. Kepastian bukti adalah sangat rendah untuk semua hasil merentasi semua penyakit kronik dalam kajian-kajian yang disertakan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save