Diet yang menurunkan berat badan bagi orang dengan tekanan darah tinggi

Berbanding dengan populasi umum, orang yang ada tekanan darah tinggi berisiko kematian dan komplikasi yang lebih tinggi seperti serangan jantung atau strok. Intervensi diet untuk menurunkan berat badan biasanya disyorkan sebagai langkah terapeutik pertama untuk orang yang berlebihan berat badan dengan tekanan darah tinggi, berdasarkan kaitan peningkatan berat badan dan peningkatan tekanan darah. Namun demikian, sama ada penurunan berat badan mempunyai kesan jangka panjang terhadap tekanan darah dan mengurangkan kesan buruk tekanan darah tinggi masih tidak jelas.

Memandangkan hanya kajian rawak terkawal (RCT) yang membandingkan kumpulan dengan diet yang menurunkan berat badan dan tanpa diet yang menurunkan berat badan boleh menjawab isu-isu ini, kami hanya memasukkan RCT dalam ulasan sistematik ini. Tiga puluh artikel yang melaporkan lapan kajian memenuhi kriteria kemasukkan. Lapan kajian yang dimasukkan melibatkan sejumlah 2100 peserta dengan tekanan darah tinggi dan purata umur 45 hingga 66 tahun. Purata tempoh rawatan ialah 6 hingga 36 bulan, dan terdapat sedikit atau tiada maklumat mengenai kematian atau komplikasi jangka panjang lain. Tiga daripada lapan kajian memberi kesan ke atas tekanan darah sistolik dan diastolik, yang menunjukkan intervensi penurunan berat badan menurunkan tekanan darah sistolik dan diastolik sebanyak 4.5 mm Hg dan 3.2 mm Hg. Lima daripada lapan kajian melaporkan berat badan; intervensi penurunan berat badan menurunkan berat badan sebanyak 4.0 kg berbanding dengan kawalan. Tiada maklumat berguna tentang kesan buruk dilaporkan dalam kajian-kajian tersebut.

Kesimpulannya, kami tidak menemui bukti untuk kesan diet yang menurunkan berat badan terhadap kematian atau komplikasi jangka panjang dan peristiwa buruk. Keputusan tekanan darah dan berat badan harus dianggap sebagai tidak pasti, kerana tidak semua kajian dimasukkan ke dalam analisis.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information
Share/Save