Adakah diet untuk menurunkan berat mempengaruhi tekanan darah, dan mengurangkan kesan tekanan darah tinggi (hipertensi)?

Apakah tekanan darah tinggi (hipertensi)?

Tekanan darah adalah ukuran daya yang digunakan jantung untuk mengepam darah ke seluruh badan anda. Ia ditunjuk sebagai dua nilai: tekanan ketika jantung anda menolak keluar darah (tekanan sistolik), dan tekanan ketika jantung berehat di antara denyutan (tekanan diastolik). Tekanan darah dianggap tinggi apabila tekanan sistolik melebihi 140 dan/atau tekanan diastolik melebihi 90, sering ditulis sebagai ‘140 atas 90’ dan diukur dalam milimeter merkuri (mm Hg). Risiko tekanan darah tinggi meningkat dengan usia.

Tekanan darah tinggi adalah salah satu penyebab utama kematian dan kecacatan awal di seluruh dunia. Ia boleh meningkatkan risiko orang mengalami masalah kesihatan jangka panjang yang serius, seperti serangan jantung atau strok. Menurunkan tekanan darah dalam kalangan orang dengan hipertensi mengurangkan bilangan orang mengalami penyakit jantung dan saluran darah (penyakit kardiovaskular), yang membawa kurang kematian dan masalah kardiovaskular.

Berat dan tekanan darah tinggi

Tekanan darah tinggi sering dikaitkan dengan tabiat gaya hidup tidak sihat, seperti merokok, minum alkohol terlalu banyak, lebih berat badan dan tidak cukup bersenam. Semua garispanduan rawatan mengesyorkan kawalan berat badan yang sihat dan menurunkan berat badan apabila perlu. Sesetengah orang memilih untuk menurunkan berat dengan mengikuti diet; contohnya, makan kurang lemak, atau mengehadkan bilangan kalori yang dimakan.

Mengapakah kami membuat Ulasan Cochrane ini

Kami ingin tahu jika diet untuk menurun berat mempunyai kesan jangka panjang terhadap tekanan darah, dan sama ada ia boleh mengurangkan kesan tekanan darah tinggi yang tidak diingini terhadap kesihatan.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang membandingkan kesan mengikuti diet menurunkan berat dengan tidak mengikuti diet, dalam kalangan orang dengan tekanan darah tinggi. Kami berminat dengan kesan diet terhadap tekanan darah dan berat badan. Kami juga ingin tahu berapa ramai orang mengalami sebarang kesan tidak diingini, berapa ramai orang mendapat penyakit kardiovaskular, dan berapa ramai orang yang mati.

Kami mencari kajian rawak terkawal, yang mana rawatan yang diterima ditentukan secara rawak. Kajian jenis ini memberi bukti yang paling boleh percaya tentang kesan rawatan.

Kami menilai kebolehpercayaan bukti yang ditemui. Kami mempertimbang faktor-faktor seperti: cara kajian-kajian dijalankan, berapa ramai orang yang terlibat, dan sama ada penemuan-penemuan adalah konsisten merentasi kajian-kajian.

Tarikh carian: kami menyertakan bukti yang diterbitkan sehingga April 2020.

Apa yang kami temui

Kami menemui enam kajian melibatkan 2100 orang dengan tekanan darah tinggi (purata umur 45 hingga 66 tahun). Kajian-kajian dijalankan di AS (4 kajian) dan Eropah (4 kajian), dan berlangsung dari 6 bulan hingga 36 bulan.

Tiada kajian melaporkan maklumat yang berguna tentang kesan tidak diingini berikutan diet yang menurunkan berat.

Apakah keputusan ulasan kami?

Diet menurunkan berat mungkin membolehkan orang menurunkan berat (5 kajian, 888 orang) dan mungkin menurunkan tekanan darah mereka (3 kajian; 731 orang), berbanding orang yang tidak mengikuti diet.

Kami tidak menemui bukti yang cukup sama ada mengikuti diet dapat mempengaruhi bilangan kematian atau mendapat penyakit kardiovaskular. Tiga kajian melaporkan tiada kematian semasa kajian; hanya satu kajian melihat berapa ramai orang mendapat penyakit kardiovaskular.

Sejauh mana keputusan ini boleh dipercayai?

Kami sederhana yakin orang dengan tekanan darah tinggi dapat menurunkan berat selepas mengikuti diet menurunkan berat; walau bagaimanapun, keputusan ini mungkin berubah jika terdapat lebih banyak bukti. Kami kurang yakin sama ada diet menurunkan berat menurunkan tekanan darah, kerana keputusan-keputusan ini adalah berdasarkan sebilangan kecil kajian; keputusan ini mungkin berubah jika terdapat lebih banyak bukti.

Mesej-mesej utama

Walaupun orang dengan tekanan darah tinggi dapat menurunkan berat dan tekanan darah selepas mengikuti diet menurunkan berat berbanding orang yang tidak mengikuti diet, kami tidak menemui bukti boleh percaya untuk memastikan keputusan ini. Kami tidak pasti sama ada mengikuti diet menurunkan berat dapat mengurangkan penyakit kardiovaskular kerana kami tidak menemui cukup kajian yang meneliti perkara ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information
Share/Save