Program pemulihan perioperatif selepas pembedahan yang dipertingkatkan untuk wanita dengan kanser ginekologi

Latar belakang

Kanser ginekologi menyebabkan jumlah morbiditi dan kematian yang besar. Pembedahan, sama ada secara laparoskopi (pembedahan lubang kunci) atau teknik pembedahan terbuka, adalah salah satu kaedah yang penting dalam rawatan kanser ginekologi. Penjagaan perioperatif yang dirancang dengan baik (penjagaan pada atau sekitar masa pembedahan) adalah penting untuk pemulihan selepas pembedahan.

Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, penyelidik dan doktor telah mencadangkan bahawa banyak aspek amalan penjagaan perioperatif tradisional mungkin tidak diperlukan atau bahkan berbahaya. Sebagai contoh, penggunaan julap oral dan enema boleh mengakibatkan keabnormalan praoperasi dalam tahap natrium, kalium atau kalsium, bersama-sama dengan dehidrasi. Program pertingakatan pemulihan selepas pembedahan (ERAS) bertujuan mengurangkan stres pembedahan dan mengelakkan aspek berbahaya dalam penjagaan perioperatif tradisional. Ia telah diperkenalkan secara beransur-ansur di pelbagai bidang pembedahan, terutamanya pembedahan usus. Program ERAS boleh membantu pemulihan selepas pembedahan, memendekkan masa di hospital dan menjimatkan kos hospital tanpa meletakkan pesakit di risiko yang lebih besar. Walau bagaimanapun, kurang diketahui tentang kesan program ERAS kepada wanita dengan kanser ginekologi. Ulasan ini bertujuan untuk menilai faedah dan kemudaratan program ERAS perioperatif dalam penjagaan kanser ginekologi.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari kedua-dua pangkalan data Cina dan Inggeris (sehingga Oktober 2020) dan menemui tujuh kajian terhadap 747 wanita yang menghidap kanser ginekologi, termasuk kanser serviks, kanser rahim, kanser ovari dan kanser endometrium. Lima kajian hanya melibatkan wanita yang disyaki atau disahkan kanser ginekologi dan dua kajian melibatkan sekumpulan kecil wanita dengan tumor jinak atau sempadan. Tiga kajian melibatkan wanita yang menjalani laparotomi (di mana pakar bedah membuat satu hirisan besar pada perut) dan dua kajian melibatkan mereka yang menjalani pembedahan laparoskopi (prosedur invasif minimum yang memerlukan hanya hirisan kecil). Dua daripada kajian menggunakan kedua-dua jenis pembedahan. Wanita kemudian menerima sama ada program ERAS perioperatif atau penjagaan tradisional.

Hasil-hasil utama

Program ERAS boleh mengurangkan masa di hospital selepas pembedahan dan kadar kemasukan semula dalam tempoh 30 hari selepas pembedahan. Program ERAS boleh mempercepatkan pemulihan fungsi usus selepas pembedahan, diukur mengikut masa apabila wanita itu mula-mula buang angin atau air besar. Mungkin tiada peningkatan komplikasi dalam tempoh 30 hari operasi menggunakan program ERAS. Disebabkan oleh bukti yang terhad, kami sangat tidak pasti tentang kesan program ERAS terhadap kematian akibat sebarang sebab dalam tempoh 30 hari operasi, atau sejauh mana wanita berpuas hati dengan penjagaan mereka. Kami tidak menemui sebarang bukti tentang kualiti hidup mereka. ERAS mungkin tidak meningkatkan kos hospital, tetapi buktinya sangat tidak pasti.

Kesimpulan

Program ERAS mungkin memendekkan masa di hospital selepas pembedahan, mengurangkan kadar kemasukan semula selepas pembedahan, dan memudahkan pemulihan fungsi usus tanpa menjejaskan keselamatan wanita yang menghidap kanser ginekologi, walaupun kami mempunyai keyakinan yang terhad terhadap penemuan disebabkan kualiti kajian. Kajian masa depan yang dijalankan dengan baik boleh meningkatkan kepastian penemuan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Cheryl Chan Zhi Ying (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia) Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information