Kemoterapi dos tinggi diikuti oleh pemindahan sel stem hematopoietik autologus untuk sarkoma tisu lembut bukan rhabdomyosarcoma

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti tentang kesan kemoterapi (ubat untuk membunuh kanser) dos tinggi diikuti oleh pemindahan sel stem hematopoietik autologus berbanding kemoterapi dos piawaian pada kemandirian keseluruhan (masa dari diagnosis kanser, atau rawatan, hingga kematian akibat sebarang sebab) pada orang dengan sarkoma tisu lembut bukan rhabdomyosarcoma. Kami mendapati satu kajian rawak terkawal (RCT; satu kajian klinikal di mana peserta dimasukkan secara rawak ke dalam satu antara dua atau lebih kumpulan rawatan) yang membandingkan kedua-dua rawatan.

Latar belakang

Sarkoma tisu lembut bukan rhabdomyosarcoma adalah sekumpulan kanser yang jarang berlaku. Orang dengan penyakit yang tidak boleh dibedah (tidak dapat dikeluarkan semasa pembedahan) atau metastatik (di mana kanser merebak ke bahagian badan yang lain) mempunyai prognosis (hasil) yang buruk. Adalah dipercayai bahawa dos kemoterapi yang lebih tinggi mungkin meningkatkan kemandirian seseorang. Walau bagaimanapun, dos kemoterapi yang tinggi menghentikan pengeluaran sel darah dalam sumsum tulang dan boleh memudaratkan. Sel stem (sel yang boleh membentuk kepada banyak jenis sel) yang dikumpul dari orang sebelum kemoterapi dos tinggi boleh dipindahkan balik kepada orang tersebut sekiranya bilangan sel darah menjadi terlalu rendah; ini dipangil pemindahan sel stem hematopoietik autologus. Disebabkan kekurangan kajian penyelidikan, belum terbukti bahawa orang yang dirawat seperti ini hidup lebih lama daripada orang yang dirawat dengan kemoterapi piawaian. Kami ingin menentukan sama ada penggunaan kemoterapi dos tinggi diikuti oleh pemindahan sel stem hematopoietik autologus adalah lebih baik atau lebih teruk daripada kemoterapi dos piawaian.

Ciri-ciri kajian

Bukti adalah terkini sehingga 6 September 2016. Kami menemui satu RCT yang membandingkan 38 orang dalam kumpulan kemoterapi dos tinggi dan pemindahan berbanding 45 orang dalam kumpulan kemoterapi sahaja dan dinilai mempunyai risiko bias yang rendah (sebab ia direka dengan baik). Para peserta berumur 18 hingga 65 tahun, mempunyai pelbagai jenis sarkoma tisu lembut bukan rhabdomyosarcoma dan dipantau selama kira-kira 55 bulan. Tempoh rawatan adalah antara 2000 hingga 2008. RCT tunggal ini dibiayai oleh organisasi bukan untung (pembiaya tidak mendapat manfaat jika kajian mendapat keputusan yang baik)

Keputusan utama

Keputusan RCT tidak memihak kepada salah satu daripada dua bahagian rawatan berkenaan dengan kemandirian keseluruhan. Terdapat satu kematian yang berkaitan dengan rawatan dalam kumpulan pemindahan dan tiada dalam kumpulan kemoterapi sahaja. Terdapat lapan kes dengan kesan sampingan bukan hematologi (tidak berkaitan dengan darah) yang teruk dalam kumpulan pemindahan dan satu dalam kumpulan kemoterapi sahaja.

Kualiti bukti

Kualiti keseluruhan data adalah tidak jelas dan berdasarkan hanya pada satu RCT. Kini, bukti penyelidikan adalah terhad untuk penggunaan kemoterapi dos tinggi diikuti oleh pemindahan sel stem hematopoietik autologus untuk orang dengan sarkoma tisu lembut bukan rhabdomyosarcoma. Bukti lanjut diperlukan melalui kajian klinikal yang direka dengan baik.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Leong Siew Lian (Monash University Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information