Strategi untuk meluaskan perlindungan insurans kesihatan dalam populasi yang lemah

Penyelidik dalam Kerjasama Cochrane menjalankan ulasan tentang kesan strategi untuk meningkatkan bilangan orang daripada populasi lemah yang didaftarkan ke dalam program insurans kesihatan. Mereka mencari semua kajian yang berkaitan dan menemui dua kajian. Penemuan diringkaskan seperti di bawah.

Apakah program insurans kesihatan?

Kerajaan di banyak negara menawarkan perkhidmatan penjagaan kesihatan pada kadar yang rendah atau percuma kepada semua rakyat mereka, yang selalunya membayar perkhidmatan ini melalui cukai. Walau bagaimanapun, di banyak negara membangun dan beberapa negara maju hal ini tidak berlaku. Di negara tersebut, ramai orang mendapat perlindungan perbelanjaan penjagaan kesihatan mereka melalui program insurans kesihatan kerajaan, yang selalunya dibayar melalui yuran keahlian. Tetapi kumpulan orang tertentu, seperti kanak-kanak, orang tua, wanita, orang berpendapatan rendah, orang yang tinggal di kawasan luar bandar, kaum dan etnik minoriti, pendatang, dan orang yang mempunyai penyakit kronik atau kurang upaya, kurang berkemungkinan menjadi ahli program ini walaupun mereka lebih berkemungkinan mengalami masalah kesihatan.

Di sesetengah negara ini, kerajaan telah cuba memastikan bahawa program insurans kesihatan melindungi kumpulan yang lemah ini. Salah satu cara untuk melakukan ini adalah untuk menambah baik reka bentuk program. Sebagai contoh, kerajaan boleh menukar peraturan untuk siapa yang boleh menyertai program atau mereka boleh menjadikannya lebih murah untuk menyertainya. Tetapi walaupun program direka dengan baik, orang mungkin masih tidak menyertainya. Sebagai contoh, mereka mungkin tidak tahu bahawa mereka boleh menjadi ahli atau mereka mungkin mendapati proses permohonan terlalu sukar. Untuk menangani masalah ini, contohnya, kerajaan boleh memberi maklumat lanjut tentang program dan siapa yang boleh menyertai, atau boleh memudahkan proses permohonan.

Apa yang dinyatakan oleh penyelidikan

Kedua-dua kajian dalam ulasan ini dijalankan di AS dan bertujuan untuk kanak-kanak yang tidak berinsurans. Dalam kajian pertama, pengurus kes menghubungi keluarga kanak-kanak Amerika Latin yang tidak berinsurans, memberi mereka maklumat tentang insurans kesihatan, membantu mereka memohon, dan membantu mereka membuat rayuan apabila keputusan yang salah dibuat. Dalam kajian kedua, borang permohonan insurans telah diedarkan kepada keluarga kanak-kanak yang melawat jabatan kecemasan hospital. Dalam kedua-dua kajian, keluarga tersebut dibandingkan dengan keluarga yang tidak diberi maklumat atau sokongan tambahan. Kajian tersebut menunjukkan:

Orang yang ditawarkan maklumat insurans kesihatan dan sokongan permohonan:

- mungkin lebih berkemungkinan mendaftarkan anak mereka ke dalam program insurans kesihatan (bukti berkualiti sederhana);

- mungkin lebih berkemungkinan untuk terus menginsuranskan anak mereka (bukti berkualiti sederhana);

- mungkin lebih cepat mendapatkan insurans (bukti berkualiti rendah);

- mungkin lebih berpuas hati dengan proses pendaftaran (bukti berkualiti rendah).

Orang yang diberi borang permohonan insurans di jabatan kecemasan hospital:

- mungkin lebih berkemungkinan mendaftarkan anak mereka ke dalam program insurans kesihatan (bukti berkualiti sederhana).

Tiada kesan yang tidak diingini dilaporkan dalam kajian. Kemungkinan kesan yang tidak diingini adalah orang boleh merasakan bahawa maklumat dan sokongan sebagai menjengkelkan atau tidak membantu. Walau bagaimanapun, dalam satu kajian yang menilai kepuasan ibu bapa, orang lebih berpuas hati apabila diberi maklumat dan sokongan.

Ringkasan ulasan ini untuk pembuat dasar polisi boleh didapati di sini

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Tang Kar Foong (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information