Penyumberan luar kontrak untuk meningkatkan penggunaan perkhidmatan kesihatan klinikal dan keberhasilan kesihatan di negara berpendapatan rendah dan sederhana

Apakah tujuan ulasan ini?

Ulasan Cochrane ini bertujuan untuk menilai kesan daripada penyumberan luar kontrak perkhidmatan penjagaan kesihatan. Penyelidik Cochrane mencari semua kajian yang berkaitan untuk menjawab soalan ini. Dua kajian memenuhi kriteria mereka untuk disertakan dalam ulasan.

Mesej utama

Penyumberan luar kontrak perkhidmatan penjagaan kesihatan mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan dalam penggunaan perkhidmatan penjagaan kesihatan orang ramai atau kesihatan kanak-kanak, walaupun ia mungkin mengurangkan jumlah wang yang dibelanjakan untuk penjagaan kesihatan. Kami memerlukan lebih banyak kajian untuk mengukur kesan penyumberan luar kontrak terhadap kesihatan orang ramai, ke atas penggunaan perkhidmatan penjagaan kesihatan oleh orang ramai, dan sebaik mana prestasi sistem kesihatan. Kami juga perlu mengetahui lebih lanjut tentang potensi (negatif) kesan penyumberan luar kontrak, seperti penipuan dan rasuah, dan untuk menentukan sama ada ia memberikan kebaikan atau keburukan untuk kumpulan tertentu dalam populasi.

Apa yang dikaji dalam ulasan ini?

Apabila kerajaan membuat penyumberan luar kontrak perkhidmatan penjagaan kesihatan, mereka memberi kontrak kepada organisasi bukan kerajaan untuk menyampaikan perkhidmatan ini.

Penyumberan luar kontrak perkhidmatan penjagaan kesihatan adalah biasa di kebanyakan negara berpendapatan sederhana dan menjadi semakin biasa di negara berpendapatan rendah. Di kebanyakan negara ini, perkhidmatan yang dikendalikan oleh kerajaan kekurangan kakitangan atau tidak mudah diakses. Organisasi penjagaan kesihatan swasta, sebaliknya, selalunya lebih meluas dan kadangkala dibiayai dengan baik oleh penderma antarabangsa. Dengan penyumberan luar kontrak perkhidmatan penjagaan kesihatan kepada organisasi ini, kerajaan boleh menjadikan perkhidmatan penjagaan kesihatan lebih mudah diakses oleh lebih ramai orang, contohnya, mereka di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Walau bagaimanapun, penyumberan luar kontrak mungkin merupakan cara yang lebih mahal untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan apabila dibandingkan dengan perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan sendiri. Sesetengah kerajaan mungkin mendapati ia sukar untuk mengurus organisasi bukan kerajaan dan untuk memastikan kontraktor memberikan penjagaan yang diseragamkan yang berkualiti tinggi. Proses pemberian dan pengurusan kontrak boleh mewujudkan peluang untuk penipuan dan rasuah.

Apakah hasil utama ulasan ini?

Penulis ulasan menemui dua kajian yang memenuhi kriteria untuk disertakan dalam ulasan ini. Satu kajian adalah dari Kemboja. Kajian ini membandingkan daerah yang membuat penyumberan luar kontrak penjagaan kesihatan berbanding daerah yang menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang dikendalikan oleh kerajaan. Kajian kedua adalah dari Guatemala. Kajian ini menilai apa yang berlaku sebelum dan selepas penyumberan luar kontrak perkhidmatan pencegahan, promosi, dan kuratif asas. Kajian menunjukkan bahawa penyumberan luar kontrak:

• mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan dalam pengambilan imunisasi kanak-kanak, penggunaan lawatan penjagaan antenatal oleh wanita, atau penggunaan kontraseptif oleh wanita (bukti dengan kepastian sederhana);

• mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan dalam bilangan kanak-kanak yang meninggal dunia sebelum mereka berumur satu tahun, atau yang mengalami cirit-birit (bukti dengan kepastian rendah); dan

• mungkin mengurangkan jumlah wang yang dibelanjakan untuk penjagaan kesihatan sendiri (bukti dengan kepastian sederhana).

Kajian yang disertakan tidak melaporkan kesan penyumberan luar kontrak terhadap keadilan (ekuiti) dalam penggunaan perkhidmatan penjagaan kesihatan mahupun kesan sampingan seperti penipuan dan rasuah.

Sejauh mana ulasan ini terkini?

Penulis ulasan telah mencari kajian yang diterbitkan sehingga April 2017.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Tang Kar Foong (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information