Steroid untuk selesema biasa

Soalan sorotan

Kami mengkaji bukti-bukti penggunaan steroid untuk memulihkan gejala-gejala pesakit yang mengalami selesema biasa.

Latar belakang

Selesema biasa dialami lebih daripada setengah bilion pesakit setiap tahun di Amerika Syarikat sahaja dan mengakibatkan penurunan produktiviti yang ketara. Walaupun ada pelbagai jenis ubat yang digunakan untuk mengurangkan gejala-gejala selesema biasa, tiada yang mempunyai bukti manfaat yang kukuh. Steroid (kortikosteroid) telah terbukti membantu melegakan gejala jangkitan saluran pernafasan atas daripada jenis lain dengan mengurangkan keradangan pada lapisan dalam hidung dan tekak, yang bermakna ia juga mungkin mengurangkan gejala-gejala selesema biasa.

Ciri-ciri kajian

Bukti kami adalah terkini sehingga Mei 2015. Secara keseluruhannya kami menjumpai tiga kajian. Dua kajian melibatkan orang awam dewasa atau kalangan kakitangan hospital di Finland. Kajian ini (berjumlah 253 orang dewasa) membandingkan semburan steroid intranasal, yang membolehkan steroid disembur ke dalam lubang hidung, dengan semburan yang mengandungi plasebo sahaja. Kami menemui kajian ketiga, yang mengambil 100 kanak-kanak yang dirujuk ke klinik-klinik pesakit luar di hospital pediatrik di Iran. Kajian tersebut membandingkan semburan steroid intranasal dengan tanpa semburan, dan semua pesakit diberikan antibiotik oral.

Keputusan utama dan kualiti bukti

Kedua-duanya kajian yang membandingkan semburan steroid dengan semburan plasebo pada orang dewasa tidak menunjukkan manfaat penggunaan steroid walaupun dengan pelbagai pengukur keberkesanan. Kajian yang membandingkan semburan dengan tanpa semburan menunjukkan beberapa bukti manfaat tetapi kami menilai kualiti bukti kajian ini sebagai sangat lemah dan keputusannya tidak jelas. Kami tidak boleh menggabungkan keputusan kajian-kajian ini untuk menjawab persoalan kami. Tiada terdapat laporan kesan sampingan.

Kesimpulan

Bukti-bukti yang ada mencadangkan bahawa kita tidak seharusnya menggunakan steroid intranasal untuk selesema biasa. Walau bagaimanapun, disebabkan kami hanya menilai tiga kajian kecil, kami tidak boleh memastikan ia tiada kesan tanpa menjalankan kajian yang lebih besar, dan direka dengan baik.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Irfan Mohamad (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi irfankb@usm.my Untuk sebarang pertanyaan berkaitan suntingan ini, sila hubungi hayatikk@usm.my

Tools
Information