Posisi ibu semasa peringkat kedua bersalin bagi wanita yang mengambil epidural.

Apakah isu-isunya?

Kelahiran peringkat pertengahan, kadang-kadang dipanggil peringkat kedua,adalah fasa pasif atau laten apabila ibu sudah mempunyai dilatasi penuh dan kepala bayi telah menurun tanpa meneran, dan fasa aktif adalah apabila ibu telah terasa untuk meneran dan bayi dilahirkan.

Kami ingin meneliti samada posisi kelahiran yang berlbeza (tegak atau baring) semasa di fasa kedua kelahiran ini memberikan hasil kelahiran yang berbeza kepada ibu dan bayi bagi wanita yang menggunakan epidural sebagai kaedah melegakan kesakitan bersalin. Hasil yang dicatatkan adalah pembedahan caesarean, kelahiran dengan menggunakan instrumen, pendarahan berlebihan atau jahitan disebabkan koyakan pada vagina semasa proses kelahiran. Untuk bayi, kami meneliti adakah bayi dapat menangani proses kelahiran dengan stabil atau memerlukan kemasukkan ke unit penjagaan khas bayi. Kami juga mahu memastikan pandangan wanita berkaitan pengalaman semasa melahirkan bayi dan adakah mereka berpuas hati dengan proses bersalin. Ini adalah kemaskini ulasan yang diterbitkan pertama kali pada 2013.

Mengapakah ini penting?

Epidural adalah cara pelega kesakitan yang paling efektif bagi proses bersalin. Ianya popular, namun begitu ia mungkin meningkatkan tempoh masa kelahiran dan meningkatkan penggunaan forseps dan vakum (ventouse) untuk membantu kelahiran bayi. Kelahiran secara instrumen boleh menyebabkan prolaps, kebocoran kencing, atau sakit semasa hubungan seksual. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, teknik epidural berdos rendah, juga dikenal sebagai epidural ‘berjalan’ atau ‘bergerak’, telah menjadi popular. Teknik berdos rendah ini membenarkan wanita untuk lebih banyak bergerak semasa proses bersalin dan ini mungkin memudahkan mereka untuk berada dalam posisi tegak. Terdapat pandangan bahawa posisi tegak memudahkan proses kelahiran.

Apakah bukti yang kami perolehi?

Penyelidik mencari bukti daripada ujikaji rawak terkawal pada Jun 2018. Ulasan kemaskini ini termasuk lapan kajian melibatkan 4464 kajian wanita dan bayi mereka. Salah satu dari kajian terbaru yang dijalankan dengan baik yang menyumbang kepada tiga per empat wanita dalam ulasan ini. Lima kajian dijalankan di UK, satu di France dan dua di Spain. Mereka membandingkan pelbagai posisi tegak dengan posisi baring (rekumben).

Secara keseluruhannya, terdapat sedikit sahaja perbezaan antara posisi tegak dan baring bagi pembedahan caesarean atau kelahiran secara instrumen (8 kajian, 4316 wanita; bukti yang berkualiti rendah). Kajian tersebut menunjukkan variasi yang besar dalam penemuannya. Tetapi, apabila kami hanya meneliti kajian yang berkualiti tinggi, kami dapati bahaya yang jelas dari posisi tegak (3 kajian, 3609 wanita). Terdapat bukti peningkatan risiko kelahiran pembedahan (kombinasi kelahiran instrumen atau caesarean) dan juga peningkatan kelahiran secara caesarean.

Tidak ada perbezaan bilangan wanita yang mengalami koyakan yang memerlukan jahitan (3 kajian, 3266 wanita; bukti yang berkualiti rendah) atau megalami pendarahan berlebihan (1 kajian; 3093 wanita; bukti berkualiti sederhana). Namun begitu, tidak dapat dipastikan sama ada posisi tegak memberi impak kepada kelahiran vagina berinstrumen atau tempoh masa peringkat kedua bersalin, kerana kami dapati terdapat bukti yang kurang berkualiti untuk ukuran hasil kajian tersebut.

Ibu-ibu berasa lebih berpuas hati sedikit dengan posisi baring (1 kajian, 2373 wanita). Walaupun lebih ramai bayi mengalami peningkatan aras asid tali pusat semasa dilahirkan dengan posisi baring (2 kajian, 3159 bayi; bukti yang sederhana kualiti), tiada bukti bahawa bayi dalam bahaya. Posisi yang sesuai adalah dengan mengiring sebelah kiri atau kanan, tetapi bukannya terlentang rata atas belakang atau kaki diangkatkan pada pengadang kaki (stirrup).

Apakah maksudnya?

Secara keseluruhannya tiada bukti yang jelas menunjukkan perbezaan kelahiran secara pembedahan dikalangan wanita yang mengambil epidural semasa peringkat kedua bersalin. Perbezaannya adalah dari segi reka bentuk dan kajian tersebut dijalankan dan juga perbezaan posisi yang menyumbang kepadanya. Walau bagaimanapun, kajian yang berkualiti tinggi menunjukkan hasil yang lebih baik apabila wanita dapat bergerak semasa mengiring ke kiri dan ke kanan dan mengelakkan dari berbaring rata atas belakang. Posisi ini menunjukkan keputusan lebih banyak kelahiran yang normal, memberikan pengalaman yang lebih baik dan tiada bahaya kepada ibu atau bayi apabila dibandingkan dengan posisi menegak.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nik Hazlina Nik Hussain (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi hazlinakck@usm.my

Tools
Information
Share/Save